July 27, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kembara Seni M. Nasir: Sebuah Pameran

2 min read
Spread the love

Galeri Puteh akan menganjurkan pameran seni bertajuk “SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu…M.Nasir” sempena sambutan perjalanan seni inspirasi Dato M. Nasir selama 45 tahun.

Pameran seni ini yang akan menghimpunkan lebih 30 artis seni visual, fotografi dan persembahan, serta menjanjikan pengalaman artistik yang luar biasa kepada semua pengunjung.

Antara artis yang menyertai pameran ini ialah M. Nasir, Rafiee Ghani, Ahmad Fuad Osman, Masnoor Ramli, Abdullah Jones, Samsuddin Wahab, Stephen Menon, Najib Bamadhaj, Shafiq Nordin, Hisyamuddin Abdullah, Kide Baharudin, Ika Sharom dan ramai lagi.

Menurut Galeri Puteh, pihaknya berbesar hati menganjurkan pameran istimewa ini yang bukan sahaja meraikan seni malah menjadi platform untuk menghubungkan pelbagai bentuk ekspresi seni.

“Pameran ini menjanjikan para pengunjungnya pengalaman untuk mengimbau kembali detik ikonik dalam karier M. Nasir melalui kaca mata artis yang terlibat dan ianya akan berlangsung dari 8 hingga 30 Jun 2024, dan akan menampilkan karya yang diilhamkan oleh lagu-lagu ciptaan M. Nasir.

“Dengan menggabungkan elemen seni visual, fotografi dan persembahan, pameran ini menawarkan perspektif unik tentang warisan budaya dan kreativiti M. Nasir yang telah memberi impak besar dalam industri seni Malaysia.

“M. Nasir, artis yang terkenal dengan ketokohannya dalam bidang seni terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda artis,” kata Galeri Puteh dalam sebuah kenyataan akhbar baru-baru ini.

Maka dengan itu, Galeri Puteh mengatakan bahawa pameran “SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu…M.Nasir” merupakan manifestasi penghargaan atas sumbangan M. Nasir yang tidak tertandingi dalam memperkayakan landskap seni dan budaya negara.

Selain daripada itu, portal senimalaya.com telah dipilih sebagai rakan media untuk pameran tersebut dimana ianya merupakan kerjasama strategik kedua antara Galeri Puteh dan senimalaya.com selepas kejayaan pameran Colours for Gaza yang diadakan pada 14 hingga 21 November 2023.

“Orang ramai dijemput hadir bagi menikmati keindahan dan keunikan seni yang dipamerkan, di samping memberi sokongan kepada artis tempatan,” kata Galeri Puteh.

Sementara itu, Galeri Puteh juga menyatakan bahawa maklumat lanjut mengenai pameran dan acara yang diadakan mereka sepanjang bulan Jun boleh didapati di laman web dan media sosial rasmi mereka juga.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page