October 21, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Fipper Gah Di Pentas Dunia, Kini Miliki 150 Cawangan Di 20 Negara

Spread the love

Sempena ulang tahun ke-18, jenama kasut tempatan itu merasmikan ibu pejabat baharu di Balakong Jaya selain melancarkan Kuala Lumpur Travel Passport bagi merancakkan pelancongan ibu negara.

Bermula dengan impian menghasilkan kasut berasaskan getah asli yang tahan lasak dan selesa, jenama tempatan Fipper kini melangkah lebih jauh apabila memiliki 150 cawangan utama di 20 negara.

Pencapaian itu menjadi bukti kemampuan produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Fipper dalam industri kasut selepas 18 tahun beroperasi sejak 2008.

Bagi menandakan satu lagi fasa perkembangan syarikat, Fipper merasmikan ibu pejabat baharunya di Balakong Jaya, Selangor, pada 20 Oktober lalu.

Majlis yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, itu turut menyaksikan pelancaran Kuala Lumpur Travel Passport, inisiatif bagi mempromosikan tarikan pelancongan ibu negara dan menyokong perniagaan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fipper, Jee Von, berkata perkembangan syarikat yang bermula dengan produk berasaskan getah asli itu mencerminkan usaha berterusan dalam membina jenama Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global.

“Ketika Fipper bermula 18 tahun lalu, impian kami cukup sederhana, iaitu menghasilkan kasut yang tahan lasak, selesa dan berkualiti tinggi berasaskan getah asli.

“Hari ini, Fipper berkembang dengan rangkaian 150 cawangan utama di 20 negara. Ibu pejabat baharu ini menjadi simbol perjalanan dan usaha bersama seluruh warga Fipper,” katanya.

Momentum perkembangan itu turut dipacu pengembangan pasaran di Indonesia apabila Fipper membuka 40 cawangan baharu di negara berkenaan sejak pertengahan 2025.

Ibu pejabat baharu itu turut menempatkan Fipper Experience Centre, ruang interaktif yang mengetengahkan sejarah serta pencapaian jenama berkenaan.

Antara elemen unik yang diketengahkan ialah penggunaan tapak selipar Fipper sebagai sebahagian daripada reka bentuk lantai, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung untuk mengenali identiti dan perjalanan jenama itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pelancaran Kuala Lumpur Travel Passport menjadi langkah Fipper memperluas peranannya melangkaui industri kasut, dengan menyokong usaha mempromosikan destinasi pelancongan serta perniagaan tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Hannah berkata, inisiatif berkenaan memperlihatkan bagaimana jenama tempatan boleh membantu memperkenalkan Kuala Lumpur menerusi pengalaman membeli-belah dan penerokaan destinasi pelancongan.

“Kadangkala, perkara kecil membuatkan seseorang mengingati sesebuah bandar, sama ada makanan yang enak, layanan mesra peniaga atau barangan yang dibeli ketika melancong.

“Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana perniagaan tempatan boleh membantu menjadikan Kuala Lumpur destinasi yang terus diingati pengunjung,” katanya.

Tidak terhad kepada produk kasut, Fipper turut memperkenalkan Fipper Monster Resort Blind Box, koleksi karakter yang menggabungkan elemen permainan digital interaktif, selain kolaborasi produk Fipper | Montigo Tumbler bagi memperluas penawaran dalam segmen gaya hidup.

Menerusi pembukaan ibu pejabat baharu, peluasan rangkaian antarabangsa dan pengenalan inisiatif pelancongan itu, Fipper meneruskan langkah memperkukuh identitinya sebagai jenama Malaysia yang berdaya saing, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi serta industri pelancongan negara.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page