October 20, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Tempatan Fest 2026 Tawar Tiket RM10, Peluang Menang Gitar Gibson RM28,000

Spread the love

Gabungkan automotif, muzik, fesyen dan sukan ekstrem di MAEPS Serdang pada 7 dan 8 November, dengan kolaborasi IAM dan MAX

Dengan hanya RM10, pengunjung bukan sahaja berpeluang meneroka dunia automotif, muzik, fesyen dan budaya jalanan, malah berpeluang membawa pulang gitar elektrik Gibson Les Paul bernilai RM28,000 menerusi Tempatan Fest 2026.

Festival yang bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, pada 7 dan 8 November ini tampil dengan konsep baharu yang menghimpunkan pelbagai komuniti kreatif dalam satu acara berskala besar.

Menggabungkan budaya automotif, gaya hidup, seni, muzik dan sukan ekstrem, penganjuran kali ini turut menyaksikan kerjasama dengan dua nama berpengaruh dalam industri acara automotif, International Automodified (IAM) dan Malaysia Auto Xpo (MAX).

Festival selama dua hari itu bakal berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam, membabitkan Hall A, Hall C serta kawasan luar terpilih di MAEPS.

Antara tarikan utama pastinya pameran kereta modifikasi tempatan dan antarabangsa, selain pengalaman menaiki kereta drift serta pelbagai aktiviti dan pertandingan sukan ekstrem yang dijadualkan sepanjang festival.

Bagi peminat budaya automotif, acara ini menjadi ruang untuk menyaksikan kreativiti pemilik kenderaan dalam mengolah penampilan dan identiti jentera masing-masing, manakala penggemar gaya hidup pula boleh meneroka pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa.

Segmen fesyen dan aksesori bakal menampilkan jenama seperti Eversince, The Keeks, Beachnicity, Svggest serta Pukul Rata dari Indonesia.

Pengunjung turut berpeluang meneroka rangkaian wangian daripada jenama tempatan seperti FragLab dan Opai, selain menikmati pilihan kopi serta pencuci mulut daripada The Matcha Lab, Orca Coffee dan Whitebrew.

Pesta Kopi, jenama acara kopi yang diasaskan pasukan Tempatan Fest pada 2021, pula bertindak sebagai rakan makanan dan minuman festival berkenaan.

Tidak terhad kepada fesyen dan automotif, acara ini turut membuka ruang kepada peminat muzik menerusi pameran serta jualan peralatan muzik oleh ZFX Industries dan Music Bliss.

Pentasan muzik khas bakal menghidupkan suasana dengan persembahan kumpulan tempatan termasuk Raksar serta pilihan DJ sepanjang hujung minggu.

Pertandingan papan selaju turut menjadi sebahagian daripada pengisian festival, sekali gus mengukuhkan hubungannya dengan budaya jalanan dan komuniti anak muda.

Menariknya, setiap pembelian tiket turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk memenangi satu daripada dua gitar elektrik tajaan Music Bliss, termasuk Gibson Les Paul yang dianggarkan bernilai RM28,000.

Dengan harga tiket hanya RM10 sehari, Tempatan Fest 2026 dilihat menawarkan pilihan aktiviti hujung minggu yang mesra poket, khususnya buat penggemar muzik, automotif dan gaya hidup kontemporari.

Tiket boleh dibeli menerusi laman web rasmi www.tempatanfest.com.

Untuk rekod, Tempatan Fest telah diilhamkan pada tahun 2013 dimana ianya bermula sebagai perhimpunan jenama pakaian jalanan tempatan di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, sebelum berkembang menerusi penganjuran acara di seluruh negara.

Platform itu kemudian berkembang menjadi acara tahunan yang menghimpunkan jenama tempatan, pereka, usahawan, pemuzik dan pelbagai komuniti kreatif untuk memperkenalkan hasil karya serta produk mereka kepada khalayak lebih luas.

Menerusi edisi 2026, Tempatan Fest meneruskan usaha memperkukuh ekosistem kreatif tempatan dengan menyatukan pelbagai cabang budaya dan gaya hidup dalam satu festival.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page