July 2, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Gerak Khas 2.0 ‘Kembali’, Yusof Haslam Janji Aksi Lebih Mantap

Spread the love

Selepas lebih dua dekad menjadi antara drama kepolisan paling ikonik di Malaysia, Gerak Khas kembali dengan nafas baharu menerusi Gerak Khas 2.0 yang bakal menemui penonton secara eksklusif di TVS (TV Sarawak) bermula 3 Julai ini.

Diterbitkan menerusi kerjasama Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions, drama arahan pengarah tersohor, Datuk Dr Yusof Haslam, itu menjanjikan skala produksi lebih besar, aksi lebih mendebarkan serta jalan cerita yang lebih relevan dengan cabaran jenayah era digital.

Menurut Yusof, proses penggambaran yang sudah memasuki bulan keenam bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap babak aksi memerlukan penelitian dan komitmen tinggi daripada seluruh pasukan produksi.

“Sebenarnya penat hendak menyiapkan drama ini kerana banyak adegan kejar-mengejar yang mengambil masa sehingga tiga hari untuk disiapkan.  Bayangkan, drama ini mempunyai banyak episod dan barisan pelakon juga ramai kerana masing-masing membawa karakter tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan eksklusif Gerak Khas 2.0 di TGV Suria KLCC, pada 30 Jun lalu.

Turut hadir ialah Pengerusi Sarawak Media Group, Datuk Norhyati Mohd Ismail, dan Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon utama termasuk Erra Fazira, Datuk Hans Isaac, Deen Maidin, Salina Saibi, Datuk Shaharon Anuar dan Tisha Shamsir.

Menariknya, sekitar 30 peratus penggambaran drama itu dilakukan di sekitar Kuching sekali gus memperlihatkan komitmen produksi mengetengahkan keindahan Sarawak sebagai antara latar utama penceritaan.

Selain membariskan nama-nama besar industri, Gerak Khas 2.0 turut memberi ruang kepada bakat tempatan Sarawak seperti Anding Indrawani, Emily Elizabeth dan Marzella Sigai, sekali gus memperkukuhkan usaha memperkasakan penggiat seni dari Bumi Kenyalang.

Dari sudut penceritaan, siri baharu itu membawa penonton mengikuti misi berisiko tinggi yang diketuai DCP Datuk Helmi, watak yang dilakonkan sendiri oleh Yusof Haslam, bersama Inspektor Anding dan Unit Gerak Khas dalam usaha menumpaskan sindiket jenayah terancang.

Bagaimanapun, cabaran kali ini jauh lebih kompleks apabila Kuching dan Sarawak digemparkan dengan serangan siber yang melumpuhkan sistem komunikasi, sekali gus memaksa pasukan elit itu berdepan ancaman moden yang menuntut kepakaran serta strategi lebih canggih.

Gabungan elemen kepolisan, teknologi, penyiasatan serta aksi mendebarkan dijangka memberikan pengalaman tontonan yang lebih segar kepada peminat setia siri berkenaan, selain menarik minat generasi baharu yang mengikuti drama aksi tempatan.

Sejak mula bersiaran pada tahun 1999, Gerak Khas menjadi antara drama bersiri paling lama bertahan di televisyen Malaysia apabila berjaya menghasilkan 20 musim dengan keseluruhan 1,054 episod, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai francais drama kepolisan paling berpengaruh di negara ini.

Kemunculan Gerak Khas 2.0 bukan sekadar menghidupkan semula sebuah jenama yang cukup sinonim dengan penonton, malah membuktikan karya tempatan masih mampu berevolusi mengikut perkembangan semasa tanpa mengorbankan identiti asal yang menjadi kekuatannya selama lebih 25 tahun.

Gerak Khas 2.0 akan mula ditayangkan pada 3 Julai 2026, setiap Jumaat, jam 8.30 malam, secara eksklusif di TVS (saluran 122 di MYTV, Astro dan Unifi TV) serta boleh distrim menerusi aplikasi TVS Inspire.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page