July 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Billkiss Pertaruh ‘Beruntung’, Suntik Aura Positif Kepada Pendengar

Spread the love

Selepas mencuri perhatian menerusi single Layar Hati, kumpulan pop dari Bogor, Indonesia, Billkiss kembali mempertaruhkan karya terbaharu berjudul Beruntung, yang dilancarkan di semua platform penstriman digital hari ini.

Masih mengekalkan identiti muzik pop yang manis, ceria dan mudah ‘melekat’ di halwa telinga, Beruntung hadir dengan mesej positif mengenai pertemuan dua insan yang saling melengkapi pada waktu yang paling tepat dalam kehidupan mereka.

Lagu itu mengangkat kisah dua individu yang masing-masing merasakan diri mereka bertuah apabila dipertemukan ketika kedua-duanya berada dalam fasa bersendirian. Ia turut boleh dianggap sebagai kesinambungan naratif daripada single terdahulu, Layar Hati, sekali gus memperluaskan jalan cerita yang dibina oleh Billkiss.

Menariknya, Beruntung ditulis oleh pemain bass Billkiss, Helvi Eriyanti, yang percaya setiap insan akhirnya akan dipertemukan dengan seseorang yang tepat pada masa yang telah ditentukan.

Menurut Helvi, sebelum bertemu insan istimewa itu, setiap individu perlu terlebih dahulu membentuk diri menjadi versi terbaik supaya mampu menarik energi dan aura positif yang sama.

“Apabila kita berusaha menjadi lebih baik, kita juga akan dipertemukan dengan insan yang membawa kebaikan dalam hidup. Itulah mesej yang ingin kami sampaikan menerusi lagu ini,” katanya.

Proses rakaman Beruntung berlangsung di Lancar Jaya Studio dengan bantuan pemuzik dan penerbit Acoy Rocker (Kasarunk) serta Band Omom, yang turut memainkan peranan penting dalam penyusunan muzik lagu berkenaan. Acoy juga bertanggungjawab terhadap proses adunan (mixing) bagi memastikan karya itu tampil dengan kualiti terbaik.

Sementara itu, vokalis Billkiss, Maulin, berkata setiap orang mempunyai definisi ‘beruntung’ yang berbeza dan ia tidak semestinya berkisar soal percintaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau percaya rasa syukur terhadap apa yang dimiliki serta kemampuan menikmati setiap proses kehidupan adalah antara bentuk keberuntungan yang paling bermakna.

“Lagu ini mengingatkan kita supaya menghargai setiap perjalanan hidup kerana setiap orang mempunyai kisah dan rezeki yang berbeza,” katanya.

Menerusi Beruntung, Billkiss berharap karya terbaharu mereka mampu menjadi peneman kepada pendengar dalam pelbagai situasi, selain menyebarkan semangat optimis dan aura positif kepada sesiapa sahaja yang menghayati lagu berkenaan.

Single Beruntung kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital bermula 30 Jun 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page