December 11, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dato’ Awie Suntik Semangat Buat Azlan Komeng

Spread the love

Dato’ Awie Bersama Wings Motor Gang Society, Rumah Produksi Merah dan Sayap-Sayap Wings Tampil Menghulurkan Sumbangan Buat Pelakon

Meskipun berjiwa ‘rockers’, tiada siapa yang dapat membaca isi hati Dato’ Awie yang sarat  nilai estetika yang sukar di mengerti oleh orang lain. Dunia glamour sebagai penyanyi dan pelakon sedikit pun tidak pernah mengalpakan dirinya.

Lantaran itu, Ahmad Azhar Othman atau lebih mudah disapa dengan Awie bersama Wings Motor Gang Society  (WMGS), Rumah Produksi Merah dan Sayap-Sayap Wings telah meluangkan masa menziarahi Muhammad Azlan Kamiran atau lebih dikenali dengan panggilan Azlan Komeng di kediamannya di Parit Sulung, Batu Pahat Johor pada 27 November lalu.

“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk ziarah Azlan ni, namun akibat kekangan masa dan sibuk dengan tugas maka pada hari ini kami membuat keputusan untuk datang ke sini walaupun kita semua maklum hari ini adalah hari bekerja”, ujar Dato’ Awie

‘Berat Mata Memandang, Berat Lagi Mahu Yang memikulnya’ justeru itu, sebagai insan seni beliau rasa terpanggil untuk bersama membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Azlan.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan apa yang kami rancang.  Ini adalah sebahagian daripada program CSR yang dianjurkan oleh Sayap-Sayap Wings, Wings Motor Gang Society dan Rumah Produksi Merah”, katanya

Awie turut memberitahu bahawa beliau, WMGS, Rumah Produksi Merah dan Sayap-Sayap Wings sudah lama melakukan aktiviti kebajikan seperti itu namun secara tertutup.

Selain melawat rakan artis, beliau juga sering melakukan ziarah di rumah-rumah anak yatim dan tahfiz sebagai salah satu aktiviti amal kebajikan mereka.

“Aktiviti kebajikan kami sentiasa bergerak. Kita hulurkan sikit sumbangan ikhlas dan melihat keperluan lain yang mereka perlukan pada masa akan datang,” ujar beliau

“Ini cara kami menjalankan kerja CSR, selain dapat eratkan silaturahim ianya juga dapat tingkatkan ekonomi penerima.  Kami ambil konsep itu. Kami bukan minta nama, itu tidak ada.  Wang Ringgit bukanlah perkara utama tetapi nawaitu itu sendiri yang menjadi fokus utama kepada ‘team’ kami”, tambah beliau.

Penaung Rumah Produksi Merah, Dato Eddy Amir Salim juga senada dengan Awie ketika di tanya mengenai program CSR yang di lakukan oleh pihaknya.

“Saya sentiasa menyokong penuh dan InshaAllah akan memberikan komitmen yang jitu terhadap program-program sebegini. Ini masa ‘mereka’, masa kita..kita belum tahu lagi. Jadi rasanya tidak salah jika saling bantu membantu”, ujar beliau.

Dato’ Awie bukan sahaja mengenali Azlan sebagai rakan dalam dunia seni, kedua-dua mereka juga pernah bekerjasama dalam filem ‘Rebel’.

Azlan Komeng merupakan pesilat, pelakon dan ‘stunt director’ merasa cukup terharu dengan kehadiran Dato’ Awie dan rakan-rakan yang cakna dengan kesakitan yang dialaminya akibat kemalangan sehingga menyebabkan beliau hampir lumpuh.

“Saya merasa cukup terharu dengan kedatangan Dato’ Awie bersama pasukannya ke kediaman saya yang letaknya jauh daripada Kuala Lumpur.  Kedatangan beliau sedikit sebanyak memberikan inspirasi dan semangat untuk saya terus sihat”, ujar pelakon yang turut membarisi filem ‘Geran’.

“Saya tak ada upaya untuk membalas kebaikan yang beliau bawakan hari ini. Tapi, Allah melihat semuanya dan dia lebih mengetahui.  Saya serahkan kepada takdir, tapi saya tetap berusaha. Kalau ada kerja, saya tetap nak buat selagi termampu,” katanya.

“Alhamdulillah ..emosi saya pun sudah stabil dan berharap dapat ‘bekerja’ semula.  Meskipun saya tahu sukar untuk pulih seratus peratus, tetapi saya yakin dapat melakukannya..InshaAllah”,ujarnya

Azlan turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Zul Huzaimi yang sudi memberikan tawaran ‘berlakon’ bersesuaian dengan situasi dirinya sekarang.

“Alhamdulillah dan terima kasih buat Zul yang sudi memberikan tawaran watak untuk saya.  InshaAllah saya akan mula berlakon mulai Februari tahun depan”, katanya

Awie turut melahirkan rasa hormatnya kepada Zul Huzaimi yang sanggup menawarkan dan memberikan pekerjaan kepada Azlan dan menyifatkan bahawa Zul adalah seorang ‘sahabat’ yang memiliki keperibadian yang cukup murni.

Untuk info pada awal pagi 12 Oktober lalu, Azlan bersama isterinya, Nur Nilam Ortiz dan anak mereka, Adam, 5, terbabit dalam kemalangan di Kuala Lipis, Pahang ketika dalam perjalanan pulang ke ibu kota.

Azlan mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, siku tangan kanan, tulang pinggul kanan lari, kaki kiri luka dalam dan patah, manakala isterinya, Nur Nilam cedera di tulang rusuk, muka dan kepala akibat terhentak.  Sehingga kini Azlan masih tidak mampu untuk berjalan


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page