Brutalator Kembali Sebar Virus

Teks: Azril Rahab Kredit Foto: Tok Sharif
Penantian panjang peminat muzik ekstrem akhirnya terubat apabila Brutalator kembali mengganas di pentas Teruntum Rock Festival yang berlangsung baru-baru ini, sekali gus menandakan kebangkitan semula kumpulan death metal itu selepas melalui tempoh hiatus yang cukup lama.
Kelibat lima anggota Brutalator muncul di atas pentas disambut sorakan gemuruh peminat yang nyata sudah lama merindui ledakan muzik mereka. Alunan Intro – Brutalator menjadi pembuka tirai sebelum dentuman gitar, bass dan dram meledak tanpa belas kasihan, seolah-olah mengisytiharkan bahawa virus Brutalator kembali menular dalam kalangan peminat muzik keras.

Aura yang pernah menjadikan nama Brutalator antara kumpulan disegani dalam arena muzik ekstrem tempatan nyata tidak pernah pudar. Malah, setiap riff tajam, hentakan dram yang padu dan growl lantang daripada vokalis membuatkan lautan penonton terus menghamburkan tenaga dengan headbanging tanpa henti.
Mereka memulakan serangan dengan Troops of Doom nyanyian asal Sepultura sebelum meneruskan amukan menerusi karya sendiri 4L-Qa$$am, diikuti Chaos A.D., Neourosis, Blasphemer (Sodom) dan Psycodeath Hallucination yang masing-masing disambut penuh kegilaan oleh peminat.
Lagu Territory yang sepatutnya menjadi penutup persembahan bagaimanapun tidak sempat dipersembahkan apabila persembahan terpaksa dihentikan lebih awal sebelum azan Maghrib berkumandang mengikut jadual festival.

Brutalator kali ini tampil dengan barisan mantap yang dianggotai Albert the Destroyer (gitar), Max the Slaughter (gitar), Black (bass), Luq (vokal) dan Zul Toyol (dram).
Keserasian setiap anggota jelas terserlah apabila mereka tampil cukup kemas dan bertenaga, membuktikan hiatus yang dilalui langsung tidak menjejaskan ketajaman persembahan mereka. Sebaliknya, ia seolah-olah menjadi pemangkin untuk mereka kembali dengan lebih ganas dan lapar menguasai pentas.


Turut mencuri perhatian ialah kehadiran dua wajah baharu dalam keluarga Brutalator iaitu vokalis Luq dari Terengganu dan pemain bass Black dari Perlis yang kedua-duanya berasal daripada komuniti dua roda.
Walaupun baru menyertai kumpulan itu, mereka pantas membentuk keserasian bersama anggota asal. Luq tampil dengan vokal growl yang garang dan penuh karakter, manakala Black mengemudi bahagian bass dengan mantap sehingga melengkapkan jentera Brutalator yang semakin ampuh.
Kemunculan semula Brutalator di Teruntum Rock Festival bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi isyarat bahawa nama yang pernah menggegarkan pentas muzik ekstrem tanah air itu kini kembali. Jika persembahan pembukaan ini dijadikan ukuran, jelas virus Brutalator sudah mula merebak semula, dan peminat pastinya menanti lebih banyak ‘serangan’ daripada mereka selepas ini.
