July 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Impian Mila Tak Pernah Mati

Spread the love

Selepas Lebih Sedekad Membina Empayar Bizmilla, Juara AF5 Kembali Ke Dunia Muzik Menerusi Single Balada “Tersimpan Dalam Hati” Yang Menjadi Simbol Impian Tidak Pernah Mempunyai Tarikh Luput.

Selepas lebih sedekad menyepi daripada dunia rakaman demi membina empayar perniagaan, juara Akademi Fantasia Musim Ke-5 (AF5), Mila Jirin, akhirnya kembali mengubat kerinduan peminat menerusi single terbaharu berjudul Tersimpan Dalam Hati.

Kemunculan semula penyanyi berusia 37 tahun itu bukan sekadar mempertaruhkan sebuah lagu baharu, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan seorang anak seni yang tidak pernah melupakan akar perjuangannya dalam muzik.

Sepanjang lebih 10 tahun lalu, nama Mila lebih sinonim sebagai pengasas Bizmilla, jenama yang berkembang daripada sebuah impian kecil sehingga menjadi antara peneraju industri perkahwinan, katering dan dewan bankuet negara dengan lebih 10,000 majlis dikendalikan serta meraikan lebih 10 juta tetamu di seluruh Malaysia.

Namun di sebalik kejayaan itu, tersimpan satu impian yang tidak pernah padam.

Menurut Mila, ada ketika dia sendiri tertanya-tanya sama ada peluang untuk kembali menyanyi masih wujud dalam hidupnya, terutama ketika berdepan pelbagai cabaran dalam menguruskan perniagaan serta memastikan kelangsungan operasi syarikat dan kebajikan ratusan kakitangannya.

“Saya sendiri pernah tertanya-tanya sama ada impian untuk kembali menyanyi masih ada ruang dalam hidup saya. Tetapi saya percaya, jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat,” katanya.

Bagi Mila, walaupun kehidupannya berubah apabila bergelar usahawan, isteri dan ibu, kecintaannya terhadap muzik tidak pernah hilang.

“Saya percaya setiap orang pernah menyimpan sesuatu dalam hati. Ada yang menyimpan cinta, impian atau luka. Lagu ini saya dedikasikan kepada mereka yang masih percaya bahawa impian tidak pernah mempunyai tarikh luput,” katanya.

Single Tersimpan Dalam Hati yang sarat dengan elemen balada moden mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan serta impian yang dipendam, sekali gus menggambarkan perjalanan hidup yang dilalui penyanyi itu sepanjang lebih sedekad.

Bagi memastikan kemunculan semulanya tampil dengan kualiti terbaik, keseluruhan proses rakaman dilakukan di Jakarta bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala pengedaran digital dikendalikan Nova Music.

Video muzik rasmi lagu itu turut menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga, dengan Mila sendiri terbabit menghasilkan idea dan konsep penceritaan bagi memastikan visualnya benar-benar mencerminkan perjalanan emosinya.

Lebih menarik, Tersimpan Dalam Hati menjadi pembuka tirai kepada projek comeback penyanyi itu yang bakal diteruskan dengan beberapa karya baharu hasil kerjasama komposer Malaysia dan Indonesia.

Malah, Mila turut mengesahkan sedang menyiapkan album baharu yang diterbitkan sepenuhnya oleh suaminya, Ailis Mustapha menerusi Bizmedia Marketing.

Album yang menghimpunkan karya komposer dari dua negara itu dijangka menemui peminat pada penghujung tahun ini.

Selepas bertahun-tahun menyimpan impian itu jauh di sudut hati, Mila akhirnya membuktikan bahawa cinta terhadap muzik tidak pernah pudar, malah hanya menunggu waktu yang tepat untuk kembali bersinar.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page