July 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Insomniacks Intai Filipina, Misi Tawan Pasaran Dunia

Spread the love

‘Love Me Or Not’ jadi taruhan pertama dalam bahasa Inggeris sepenuhnya hasil kolaborasi pencipta lagu Sweden, sebelum menggalas tugas pembuka tirai konsert 5 Seconds of Summer.

Selepas berjaya mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan, kumpulan pop popular Insomniacks kini mengorak langkah lebih besar apabila meletakkan sasaran untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan mempertaruhkan single baharu berbahasa Inggeris, Love Me Or Not.

Berbeza daripada karya terdahulu, lagu ini menjadi simbol permulaan kepada fasa baharu perjalanan seni Insomniacks yang mahu memperluaskan pengaruh muzik mereka, dengan Filipina muncul sebagai destinasi pertama yang menjadi sasaran.

Menurut Insomniacks, keputusan menghasilkan lagu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dibuat selepas melihat potensi untuk memperkenalkan muzik mereka kepada kelompok pendengar yang lebih luas.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami mengeluarkan lagu dalam bahasa Inggeris, jadi ia bukanlah sesuatu yang terlalu asing buat kami. Kali ini kami melihat ia sebagai peluang untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada audiens yang lebih luas, terutama di Filipina. Kami ingin mencuba nasib di pasaran yang berbeza daripada Malaysia,” katanya.

Usaha itu turut diperkukuhkan menerusi kolaborasi bersama penerbit dan pencipta lagu terkenal dari Sweden, Johan Gustafsson dan Rebbi James, yang membawa pendekatan baharu kepada proses pembikinan lagu berkenaan.

Turut digubah oleh Iqie, Danial dan Iskandar, Love Me Or Not mengetengahkan susunan pop moden yang segar dengan sentuhan antarabangsa, namun masih mengekalkan identiti muzik yang menjadi kekuatan Insomniacks selama ini.

Lagu berkenaan mengangkat kisah seseorang yang memilih untuk terus menyayangi walaupun sedar cintanya tidak lagi berbalas, sekali gus menyampaikan mesej bahawa tidak semua perasaan akan mendapat penghujung yang diharapkan.

“‘Love Me Or Not’ mengisahkan tentang menerima hakikat bahawa perasaan kita mungkin tidak akan dibalas, tetapi kita masih ikhlas menyayangi seseorang. Kami berharap mereka yang pernah melalui situasi seperti ini akan merasakan mereka tidak keseorangan apabila mendengar lagu ini,” katanya.

Menariknya, lagu yang kini menjadi taruhan utama kumpulan itu sebenarnya lahir secara tidak dirancang ketika mereka menyertai sebuah sesi writing camp bersama barisan pencipta lagu antarabangsa.

“Lagu ini pada asalnya hanyalah satu eksperimen. Kami masuk ke studio tanpa sebarang tekanan atau sasaran untuk menghasilkan single baharu.

“Bagaimanapun, keseluruhan lagu berjaya disiapkan dalam tempoh sehari. Selepas mendengarnya semula, kami semua terus jatuh hati dan sepakat bahawa inilah lagu yang perlu dilancarkan terlebih dahulu sebelum album baharu,” katanya.

Bagi Insomniacks, pengalaman bekerjasama dengan pencipta lagu luar negara bukan sahaja menghasilkan sebuah karya baharu, malah membuka perspektif mereka terhadap proses kreatif.

“Pengalaman ini benar-benar membuka mata kami. Setiap pencipta lagu mempunyai pendekatan tersendiri dan daripada situ kami memperoleh banyak idea serta inspirasi baharu. Ia membuatkan kami lebih berani bereksperimen dan mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan selepas ini,” katanya.

Momentum positif itu diteruskan apabila Insomniacks diumumkan sebagai artis pembuka tirai bagi konsert kumpulan pop-rock antarabangsa, 5 Seconds of Summer, yang akan berlangsung pada 17 November dan 4 Disember depan.

Peluang berkongsi pentas dengan kumpulan bertaraf dunia itu dilihat sebagai pengiktirafan besar terhadap perjalanan seni mereka, selain menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada lebih ramai peminat di peringkat antarabangsa.

Mengakhiri perkongsian, Insomniacks berharap Love Me Or Not mampu menjadi teman kepada sesiapa yang sedang berdepan episod cinta yang tidak kesampaian.

“Kadang-kadang kita tidak mampu mengawal apa yang kita rasa dan itu perkara yang normal. Pada akhirnya, kita sendiri yang paling memahami hati serta perasaan kita. Harapnya lagu ini dapat menemani mereka yang sedang melalui fasa itu,” katanya.

Love Me Or Not kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page