November 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Slam X Exists: ‘The Greatest Hits’, Tiada Lagu Side B, Hanya Deretan Hit

Spread the love

Shah janjikan himpunan karya terunggul, elemen persembahan lebih segar dan produksi lebih mantap di Unifi Arena pada 1 Mei 2027

Kredit Foto:  Bangsawan Pictures

Selepas beberapa kali berkongsi pentas, Slam dan Exists kembali bergabung dengan satu pendekatan yang lebih terarah apabila peminat bakal disajikan karya paling popular kedua-dua kumpulan itu tanpa perlu menunggu lagu kegemaran mereka muncul di celah-celah pilihan lain.

Menerusi konsert Slam x Exists: The Greatest Hits, 1 Mei 2027 di Unifi Arena, Bukit Jalil, tumpuan diberikan sepenuhnya kepada lagu yang pernah mencipta fenomena dan kekal menjadi siulan peminat sehingga hari ini.

Malah, pemain gitar Slam merangkap pengasas SS Karya Entertainment, Shah secara jelas memberikan gambaran mengenai konsep persembahan itu apabila menegaskan tiada lagu side B akan mengisi senarai repertoir, sebaliknya peminat bakal menikmati himpunan karya terbaik daripada kedua-dua kumpulan.

Pendekatan itu bukan sahaja membezakan konsert berkenaan daripada pertemuan terdahulu menerusi Our Journey pada 2025, malah memperlihatkan usaha kedua-dua penganjur untuk memberikan nilai baharu kepada karya yang sudah sekian lama berakar dalam ingatan peminat muzik tempatan.

Shah berkata, idea penganjuran konsert itu tercetus selepas ICON Entertainment mengadakan perbincangan bersama SS Karya Entertainment bagi menilai kerelevanan menghimpunkan semula dua kumpulan berkenaan di pentas berskala besar.

“Memang Slam dan Exists sudah pernah berkongsi pentas di Kuala Lumpur pada 2025, kemudian sekali lagi di Singapura. Namun, selepas ICON Entertainment datang berbincang dan kami bertukar idea serta pandangan mengenai mengapa dan adakah masih relevan Exists serta Slam berada di atas satu pentas lagi, maka lahirlah Slam x Exists: The Greatest Hits.

“Apa yang akan peminat dapat kali ini adalah untaian lagu hit, terunggul dan terbaik dalam katalog Slam mahupun Exists. Bukan lagu-lagu side B,” katanya.

Bagaimanapun, Shah menjelaskan tarikan konsert itu tidak terhad kepada pemilihan lagu semata-mata apabila pihaknya turut merancang untuk menyuntik elemen lebih segar dalam persembahan.

Menurutnya, setiap karya yang dibawakan perlu diterjemahkan dengan penghayatan serta pendekatan persembahan yang bersesuaian supaya melodi dan kekuatan muziknya dapat dirasai sepenuhnya oleh penonton.

Usaha itu juga bertujuan memastikan peminat memperoleh pengalaman berbeza apabila menyaksikan lagu-lagu yang sudah begitu akrab dengan mereka dipersembahkan secara langsung, tanpa menghilangkan identiti asal karya berkenaan.

Selain aspek muzik, Shah turut memberi penekanan terhadap mutu produksi khususnya sistem bunyi dan visual yang menjadi antara keutamaan bagi memastikan pengalaman penonton setimpal dengan nilai tiket yang dibeli.

“Dengan lokasi yang lebih besar iaitu Unifi Arena Kuala Lumpur, ‘pelaburan’ peminat akan lebih berbaloi dengan sistem bunyi dan visual juga,” katanya ketika ditemui pada sidang media di A Quiet Place, Bukit Bintang, pada 26 November lalu.

Sementara itu, pengasas ICON Entertainment, Iman Tang menyifatkan kerjasama dengan SS Karya Entertainment sebagai usaha menyatukan matlamat kedua-dua pihak untuk terus mengangkat keupayaan pemuzik tempatan menerusi penganjuran konsert berskala besar.

Baginya, pengaruh Slam dan Exists tidak hanya terbatas pada zaman kegemilangan masing-masing, sebaliknya kekuatan karya mereka masih merentasi generasi dan mempunyai tempat tersendiri dalam landskap muzik tempatan.

“Slam dan Exists mempunyai pengaruh cukup besar dalam landskap muzik tempatan dan Nusantara. Siapa yang tidak tahu sekurang-kurangnya satu lagu Slam dan satu lagu Exists?

“Walaupun sudah ada banyak konsert sebelum ini, saya percaya Slam x Exists: The Greatest Hits akan tetap dihadiri peminat bukan sekadar kerana nostalgia, tetapi karya mereka yang sudah melekat dalam hidup serta mahu didengar dan dilihat secara langsung berulang kali,” katanya.

Bagaimanapun, satu perkara yang pastinya mengundang perhatian peminat Exists ialah ketiadaan bekas vokalis kumpulan itu, Mamat dalam projek kali ini.

Iman menjelaskan, Mamat sememangnya sebahagian daripada sejarah perjalanan Exists, namun pembabitannya tidak termasuk dalam konsep dan penjenamaan The Greatest Hits yang diketengahkan kali ini.

“Mamat memang sebahagian daripada sejarah Exists tetapi untuk penjenamaan The Greatest Hits kali ini, dia tidak terlibat.  Berbeza jika saya menggunakan istilah Reunion atau Memento Mori, itu barulah bermakna semua anggota asal akan ada,” katanya.

Penjelasan itu turut selari dengan pandangan pemain bass Exists, Musa yang menyifatkan ketiadaan Mamat bukan disebabkan sebarang perselisihan, sebaliknya sebahagian daripada perancangan kumpulan untuk mengekalkan variasi dalam projek persembahan mereka.

Musa turut mengibaratkan Mamat sebagai ‘kad’ yang masih disimpan untuk projek lain, sekali gus memberi bayangan peminat mungkin berpeluang menyaksikan kelainan dalam persembahan Exists pada masa akan datang.

Menurutnya, Mamat memahami perancangan berkenaan dan masih mempunyai peluang untuk bersama Exists dalam beberapa aktiviti seni serta persembahan lain.

Dalam pada itu, vokalis Exists, Ezad Lazim melihat konsert berkenaan sebagai platform penting untuk mendekatkan muzik mereka kepada kelompok pendengar lebih muda, selain menemukan peminat lama yang membesar dengan karya kedua-dua kumpulan.

Menurutnya, perkembangan platform dan aplikasi penstriman muzik digital membuka peluang lebih luas kepada generasi baharu untuk mengenali lagu-lagu Slam dan Exists, sekali gus membuktikan karya bermutu tidak terikat kepada zaman atau usia pendengarnya.

“Selain mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat, Slam x Exists: The Greatest Hits juga mahu menarik minat generasi baharu yang mula mengenali kami menerusi platform dan aplikasi muzik digital.

“Peminat juga dapat menikmati karya-karya terunggul Slam dan Exists pada satu malam,” katanya.

Dengan katalog muzik yang cukup besar, peminat pastinya mengharapkan kemunculan lagu malar segar seperti Gerimis Mengundang, Nur Kasih dan Kembali Terjalin daripada Slam, selain Alasanmu, Langkah Seiringan, Julia serta Seperti Dulu daripada Exists.

Kekuatan karya berkenaan bukan sekadar terletak pada nilai nostalgia, tetapi turut memperlihatkan bagaimana penciptaan muzik yang mempunyai identiti dan jiwa tersendiri mampu bertahan merentasi perubahan zaman serta citarasa pendengar.

Tiket konsert ditawarkan pada harga RM228 (Gerimis Mengundang), RM288 (Nur Kasih), RM388 (Kembali Terjalin), RM368 (Mencari Alasan), RM428 (Langkah Seiringan), RM488 (Seperti Dulu) serta pakej ICON Sofa berharga RM5,000.

Jualan tiket akan bermula pada 1 Disember 2026, jam 3 petang menerusi www.ticket2u.com.my/slamexists.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page