November 17, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

S.O.S Bawa Penonton Menyelami Dunia Persaingan Bakat Muda

Spread the love

Drama muzikal lapan episod terbitan Astro mengetengahkan persahabatan, percintaan, konflik remaja dan cabaran mengejar impian

Dunia remaja bukan sekadar dipenuhi kisah persahabatan dan percintaan, sebaliknya turut dihimpit tekanan untuk membuktikan kemampuan diri, persaingan serta pencarian identiti.

Mengangkat realiti itu, Astro tampil dengan siri drama muzikal terbaharu, School of Stars (S.O.S), yang membawa penonton menyelami kehidupan sekumpulan pelajar universiti dengan impian besar dalam dunia muzik.

Bakal bersiaran mulai 18 November ini, drama lapan episod berkenaan menjanjikan gabungan elemen persahabatan, percintaan, persaingan dan muzik menerusi perjalanan watak-watak muda yang berusaha membuktikan keistimewaan bakat masing-masing.

Menariknya, S.O.S bukan hanya menjadikan muzik sebagai elemen hiburan, malah turut menyelitkan isu yang dekat dengan kehidupan generasi muda masa kini, termasuk keyakinan diri, kesihatan mental, tabiat membuli dan tekanan emosi.

Siri terbitan Red Communications Sdn Bhd itu diterbitkan oleh Lina Tan dan diarahkan Imri Nasution.

Bagi menghidupkan cerita, S.O.S mempertaruhkan barisan bakat muda tempatan yang sedang meningkat naik seperti Evertts Gomes, Nelysa Kay, Daniel Fong, Alvy Joanna dan Faiz Najib.

Mereka bergandingan dengan pelakon berpengalaman, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosmila dan Rashidi Ishak.

S.O.S mengisahkan Fiz (Evertts Gomes), pelajar berbakat daripada keluarga berpendapatan rendah yang memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni.

Bagaimanapun, perjalanan Fiz tidak semudah disangka apabila dia bertemu Puteri (Nelysa Kay), pelajar yang meletakkan harapan tinggi terhadap dirinya, selain Damien (Daniel Fong), teman lelaki Puteri yang turut memiliki bakat besar dan berasal daripada keluarga berada.

Perbezaan latar belakang, persaingan dan konflik antara mereka menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi sebelum akhirnya belajar bekerjasama demi menyertai pertandingan yang bakal menentukan masa depan masing-masing.

Menurut Penolong Naib Presiden, Kandungan GenNext Astro, Nufazlina Radzi, S.O.S dihasilkan bagi menyampaikan kisah yang dekat dengan kehidupan generasi muda, selain memberi ruang kepada penonton memahami cabaran yang mereka lalui.

“Melalui S.O.S, kami ingin membawakan sebuah kisah yang dekat dengan kehidupan generasi muda hari ini. Selain hiburan dan muzik, siri ini turut menyentuh cabaran yang sering dihadapi mereka seperti tekanan sosial, keyakinan diri dan pencarian identiti.

“Harapan kami siri ini bukan sahaja dapat menghiburkan penonton, malah memberi inspirasi kepada mereka untuk terus percaya pada kebolehan diri, tidak mudah berputus asa dan berani mengejar impian walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh identiti muzik siri itu, Astro turut memperkenalkan lagu runut bunyi asal (OST) berjudul Terbang Tinggi yang dilancarkan pada 21 Oktober lalu.

Lagu berkenaan dinyanyikan oleh DNA, kumpulan muzik fiksyen yang turut menjadi sebahagian daripada jalan cerita S.O.S.

Terbang Tinggi membawa mesej keberanian mengejar impian, mempercayai kemampuan diri dan bangkit daripada kegagalan, sekali gus memberi gambaran awal mengenai perjalanan muzik DNA dalam siri berkenaan.

Drama berkenaan akan disiarkan setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104), selain boleh distrim melalui Astro GO, On Demand dan Sooka.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page