Reza, Christine mahu PGL tembusi Indonesia

Dua bintang filem tersohor Indonesia terbang ke Kuala Lumpur menyaksikan muzikal epik itu, sekali gus membuka peluang kolaborasi seni Malaysia-Indonesia
Kehadiran dua nama besar industri perfileman Indonesia, Christine Hakim dan Reza Rahadian, yang sanggup terbang dari Jakarta ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) 2026, membuktikan karya epik itu mempunyai daya tarikan melangkaui sempadan negara.
Lebih daripada sekadar kunjungan memberikan sokongan kepada sahabat, kehadiran mereka turut membuka ruang kepada impian lebih besar apabila Reza menyuarakan hasrat melihat naskhah berkenaan dipentaskan di Indonesia menerusi kolaborasi seni antara kedua-dua negara.
Pengarah PGL, Puan Sri Tiara Jacquelina, menyifatkan kunjungan kedua-dua sahabat baiknya itu sebagai penghargaan cukup bermakna, apatah lagi Christine mempunyai hubungan istimewa dengan perjalanan karya berkenaan sejak penghasilan filem Puteri Gunung Ledang pada 2004.
Lebih menyentuh perasaan, Christine yang menghidupkan watak Bayan dalam filem berkenaan akhirnya berpeluang menyaksikan sendiri adaptasi muzikal PGL selepas tidak berkesempatan menghadiri pementasan sulungnya pada 2006.
Tiara berkata, kehadiran Christine dan Reza memberikan suntikan semangat besar kepada seluruh produksi yang sudah bekerja keras menghidupkan semula karya epik itu selepas lebih dua dekad.
“Hadirnya Reza bersama Ibu Christine menjadi satu inspirasi besar kepada seluruh keluarga Puteri Gunung Ledang, terutama saya sendiri.
“Christine dan Reza merupakan teman baik saya. Saya pun tidak sangka mereka sanggup meluangkan masa untuk datang menyaksikan persembahan kami. Christine sangat istimewa bagi saya,” katanya.
Bagi Christine, 69, perkara paling mengagumkan mengenai PGL ialah keupayaan Tiara mengekalkan roh, tenaga dan emosi karya itu meskipun sudah lebih 22 tahun berlalu sejak pembikinan filem asalnya.

Katanya, bukan mudah untuk memastikan sesebuah karya terus mempunyai kekuatan dan daya hidup selepas melalui perjalanan panjang, apatah lagi apabila ia perlu diterjemahkan dalam bentuk pementasan berskala besar.
“Saya dapat merasakan energi keseluruhan pementasan ini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Tiara selama lebih 22 tahun ini mampu menjaga tenaga dan ‘rasa’ PGL.
“Saya rasa itu hal yang paling sukar,” katanya ketika ditemui pada pementasan malam ke-18 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC).
Christine turut memuji persembahan Nadia Aqilah dan Mimi Fly yang berkongsi watak Bayan, selain menyifatkan Mila Mohsin yang kini menggalas watak Puteri Gunung Ledang sebagai penyambung legasi ibunya.
Malah, aktres legenda itu secara berseloroh yakin Mila berupaya membawa watak berkenaan dengan lebih baik berbanding Tiara.
“Saat tahu Mila akan berperan sebagai Puteri Gunung Ledang, saya yakin dia akan menjadi lebih baik daripada ibunya (Tiara). Saya kenal Mila sejak usia dia tujuh tahun ketika kami menjalani pembikinan filem PGL. Itu sudah 22 tahun lalu dan sekarang Mila berumur 29 tahun.
“Melihat Mila di pentas, dia juga seperti ibunya, sangat serius dan fokus. Saya seperti melihat versi Tiara yang baharu dalam sosok Mila di PGL. Mila persis ibunya,” katanya.
Bagi Christine, PGL bukan sekadar sebuah produksi hiburan, sebaliknya mempunyai nilai lebih besar sebagai medium memperkenalkan sejarah dan warisan bersama kepada generasi muda Malaysia serta Indonesia.
Beliau berpandangan hubungan kedua-dua negara perlu terus diraikan sebagai satu keluarga besar yang berkongsi latar sejarah dan budaya, sekali gus menjadikan karya seperti PGL penting dalam mengingatkan masyarakat mengenai ikatan berkenaan.
Pandangan itu turut dikongsi Reza, 39, yang menyifatkan pengalaman menyaksikan PGL sebagai sesuatu yang menakjubkan.

Malah, aktor itu mengakui hampir terlepas peluang menonton produksi berkenaan kerana berdepan kesukaran mendapatkan tiket sebelum Christine membantunya.
“Indah, menakjubkan. Saya gembira kerana akhirnya dapat menonton PGL, hampir gagal tidak mendapat tiket. Saya harus ucapkan terima kasih kepada Ibu (Christine Hakim) kerana beliau mendapatkan tiket buat saya,” katanya.
Reza menegaskan kehadiran mereka bukan sekadar untuk memberikan sokongan kepada Tiara, sebaliknya benar-benar mahu menikmati keseluruhan pementasan yang disifatkannya sebagai sebuah produksi bertaraf tinggi.
Malah, beliau berharap kejayaan PGL mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri teater tempatan, khususnya dalam melahirkan lebih banyak produksi muzikal berskala besar.
“Melihat ribuan penonton yang telah menonton dan ribuan lagi yang masih menunggu, saya berharap ini boleh menjadi lokomotif untuk sebarang syarikat teater lain.
“Dengan skala yang dipersembahkan, ini menjadi standard dan semoga ini menjadi harapan serta cahaya di sebalik Gunung Ledang yang boleh mendorong lebih banyak muzikal pada masa akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, perkara paling menarik daripada kunjungan Reza ialah hasratnya melihat PGL dibawa ke Indonesia menerusi kerjasama seni yang menggabungkan kekuatan kreatif kedua-dua negara.
Beliau membayangkan pementasan itu boleh mengangkat latar sejarah Melaka dan Majapahit dengan penglibatan penggiat seni Malaysia serta Indonesia.
“Mungkin jika ia dipentaskan di Indonesia, kita boleh mempunyai keluarga Malaysia sebagai bahagian Melaka. Dan orang Indonesia, semua orang Indonesia, menjadi sebahagian daripada Majapahit. Dan itu akan menjadi sesuatu yang menarik. Saya rasa itu akan menjadi sebuah kolaborasi yang indah,” katanya.
Impian itu sekali gus membuka perspektif baharu terhadap potensi PGL untuk berkembang sebagai karya serantau, bukan sekadar sebuah muzikal yang mengangkat legenda tempatan.
Sambutan terhadap produksi terbaharu itu juga luar biasa apabila kira-kira 23,000 tiket bagi 16 pementasan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam, manakala persembahan tambahan The Grand Finale dijadualkan berlangsung pada 17 November ini.
PGL The Musical 2026 yang dipentaskan di JCPAC sehingga 17 November ini turut dirancang kembali ke Singapura, manakala kemungkinan musim baharu di Kuala Lumpur pada 2027 serta jelajah kebangsaan masih di peringkat awal perancangan.
Perkembangan lanjut boleh diikuti menerusi saluran rasmi Enfiniti.
Jelas, perjalanan PGL masih belum berakhir. Jika dahulu legenda itu menghubungkan sejarah dan seni Malaysia, kini impiannya lebih besar, merentasi sempadan untuk menyatukan warisan serta bakat kreatif dua negara serumpun.
