Taiwan IP Expo Malaysia 2026 Perkukuh Jambatan Kreatif Taiwan–Malaysia
Selepas mencatat sambutan memberangsangkan tahun lalu, Taiwan IP Expo Malaysia 2026 kembali membuka tirai secara rasmi hari ini di Oasis Avenue, Sunway Pyramid dengan skala lebih besar, lebih interaktif dan lebih fokus kepada potensi komersial industri kandungan kreatif serantau.
Dianjurkan oleh Taiwan Creative Content Agency bersama rakan strategik Malaysia Creative Intellectual Property, ekspo lima hari itu menghimpunkan 12 IP karakter asal Taiwan serta 12 kolaborasi kreatif rentas budaya Taiwan–Malaysia yang dipersembahkan buat pertama kali kepada umum.
Acara berkenaan bukan sahaja tampil sebagai pameran karakter dan produk kreatif, malah menjadi platform penting bagi pemadanan perniagaan, pembangunan pelesenan IP serta kerjasama strategik antara pemain industri dari kedua-dua negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TAICCA, Yang Chung-Tian berkata, Malaysia memainkan peranan penting sebagai pintu masuk strategik untuk IP Taiwan berkembang ke rantau Asia Tenggara.
“Malaysia bukan sahaja sebuah pasaran penting bagi IP asal Taiwan untuk menembusi Asia Tenggara, malah rakan strategik dalam memacu kerjasama kreatif dan budaya di peringkat serantau.
“Taiwan dan Malaysia berkongsi banyak persamaan dari segi latar budaya serta landskap industri. Ini memberi keyakinan besar kepada kami terhadap potensi masa depan dalam kerjasama pelesenan IP serta pertukaran industri antara kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut beliau, selain membawa masuk 12 IP karakter asal Taiwan, pihaknya turut memperkukuhkan aspek pemadanan perniagaan, kolaborasi rentas sempadan serta kerjasama dagang bagi membuka lebih banyak peluang pasaran kepada pencipta kandungan kreatif.

Antara IP Taiwan yang menjadi perhatian tahun ini termasuk Kittensisland yang sebelum ini mencatat jualan kedua tertinggi ketika kemunculan sulungnya di Malaysia tahun lalu.
Turut mencuri tumpuan ialah Takokuma yang berjaya menembusi pasaran Jepun dan Korea menerusi animasi asli dan penceritaan bergambar, selain Kuroro Space Exploration Team yang mempunyai pengikut besar di Thailand, Australia, Malaysia dan Singapura menerusi penerbitan buku serta barangan eksklusif.
Salah satu segmen paling mencuri perhatian dalam edisi kali ini ialah Pameran Seni Rentas Taiwan–Malaysia yang menampilkan 12 karya kolaboratif melibatkan kreator kedua-dua negara.
Kolaborasi tersebut menyaksikan gabungan identiti kreatif Taiwan bersama elemen budaya Malaysia bagi memberi nafas baharu kepada karakter asal menerusi pendekatan lebih segar dan dekat dengan pasaran tempatan.
Antara pencipta Malaysia yang terlibat termasuk Jefferson Ng, Bichi Mao, Relaxed Comics serta beberapa bakat baharu dalam arena ilustrasi dan reka bentuk tempatan.

Presiden MYCIP, Lau Shaw Ming berkata, kerjasama tersebut membuka peluang lebih besar dalam pembangunan produk, kolaborasi jenama serta pengembangan IP di peringkat serantau.
“Malaysia mempunyai kelompok bakat kreatif yang kuat, manakala Taiwan pula memiliki pengalaman luas dalam pembangunan IP serta pengembangan antarabangsa.
“Melalui platform ini, kami melihat potensi besar untuk lebih banyak kolaborasi jenama, pembangunan produk dan peluang serantau pada masa hadapan,” katanya.
Selain pameran dan sesi pemadanan perniagaan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk permainan berteknologi AR, kemunculan maskot karakter, sesi perkongsian pencipta kandungan serta pameran barangan eksklusif.

TAICCA juga menjalinkan kerjasama bersama Sunway Pyramid menerusi kempen beli-belah dan tebus bagi menarik lebih ramai pengunjung menyertai aktiviti sepanjang ekspo berlangsung.
Dalam perkembangan sama, beberapa IP Taiwan kini mula melangkah lebih jauh menerusi pendekatan lokalisasi kandungan untuk pasaran Malaysia.
Sebagai contoh, Kittensisland kini membangunkan kandungan serta produk khas berinspirasikan tradisi masyarakat majmuk Malaysia sebagai usaha mendekatkan jenama itu dengan pengguna tempatan.
Taiwan IP Expo Malaysia 2026 berlangsung sehingga 24 Mei ini dan dibuka kepada orang ramai di Oasis Avenue, Sunway Pyramid.
