May 21, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Zynakal Kembali ‘Buka Luka’ Menerusi Niat

Spread the love

Selepas mencuri perhatian menerusi deretan karya hit sebelum ini, Zynakal kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul NIAT, sebuah lagu yang sarat dengan emosi tentang keikhlasan cinta dan trauma dalam hubungan.

Tampil dengan pendekatan lebih matang dan jujur, NIAT membawa pendengar menyelami konflik perasaan seseorang yang takut untuk jatuh cinta semula selepas melalui pengalaman pahit dalam kehidupan.

Menerusi lirik seperti “apa niat dalam hati, benarkah aku kau cari, atau cuma mahu isi kekosongan dalam hati”, lagu tersebut menggambarkan kegelisahan seseorang yang cuba memahami maksud sebenar sebuah hubungan.

Bagi Zynakal, lagu itu bukan sekadar karya hiburan, sebaliknya refleksi emosi yang dekat dengan realiti ramai anak muda masa kini.

Dikenali sebagai antara figura muzik hip hop dan pop urban yang memiliki identiti tersendiri, Zynakal sekali lagi mempertaruhkan kekuatan penulisan lirik yang bersifat peribadi namun mudah ‘melekat’ dalam hati pendengar.

Dengan susunan muzik minimal dan melodi santai, NIAT hadir dengan nuansa emosional yang memberi ruang kepada kekuatan lirik serta penyampaian vokalnya untuk lebih menyerlah.

Nama Zynakal bukan asing dalam industri hiburan tempatan. Sebelum aktif sebagai penyanyi, dia terlebih dahulu mencipta nama sebagai komposer dan penerbit rakaman menerusi beberapa lagu popular seperti Sabar nyanyian Ismail Izzani, Selamat Tinggal Sayang oleh Haqiem Rusli serta Terasa Cinta nyanyian Fara Hezel dan Aiman Tino.

Karier nyanyiannya pula mula melonjak selepas pelancaran single Terbang pada 2018 sebelum fenomena lagu Sakit bersama Yonnyboii meletakkan namanya sebagai antara artis muda paling berpengaruh dalam muzik arus perdana tempatan.

Lagu tersebut juga pernah menduduki tangga pertama carta RIM ‘Single Paling Distrim di Malaysia’ selama lapan minggu berturut-turut.

Sepanjang perjalanan seni, pelbagai fasa kehidupan yang dilalui penyanyi itu sedikit sebanyak membentuk dirinya menjadi pengkarya yang lebih matang dan terbuka dalam berkongsi emosi menerusi muzik.

NIAT kini boleh distrim di semua platform digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page