Jobranko ‘Warning’: Black On White Bukan Konsert Biasa, Aura Cromok-Barbarik Memang Luar Kawalan
Konsep ‘Yin Dan Yang’ Satukan Energi Thrash Metal Cromok Dan Heavy Metal Barbarik Dalam Sebuah Pengalaman Audio Visual Yang Dijangka Menggegarkan Idealive Arena, 27 Jun Depan.
Malam 27 Jun depan bukan sekadar malam pertemuan dua nama besar muzik keras tempatan, tetapi bakal menjadi detik perlanggaran dua dunia berbeza yang lahir daripada akar perjuangan, idealisme dan energi muzik yang tidak pernah tunduk kepada arus perdana.
Di atas satu pentas yang sama di IdeaLive Arena, Cromok dan Barbarik bakal menyatukan dua karakter muzik berbeza menerusi Konsert Black On White Cromok-Barbarik, sebuah persembahan yang dijangka akan meninggalkan momen penting buat fanatika yang menggelarkan diri mereka sebagai Cromers dan Rejim Barbarik
Di sebalik judul Black On White yang kedengaran cukup sederhana, sebenarnya tersimpan falsafah besar yang menjadi tunjang kepada keseluruhan konsep persembahan berkenaan.

Pemain gitar Barbarik, Jobranko berkata, nama Black On White dipilih kerana ia membawa simbolik kepada dua dunia muzik yang saling bertentangan tetapi akhirnya melahirkan keseimbangan apabila digabungkan.
Menurutnya, Cromok hadir dengan identiti thrash metal yang agresif, pantas dan sarat elemen teknikal, manakala Barbarik pula membawa pendekatan heavy metal yang lebih groove, anthemik dan penuh karakter pentas.
“Black On White ini sebenarnya bukan sekadar nama konsert. Ia adalah refleksi kepada dua energi yang sangat berbeza. Cromok ada karakter yang sangat teknikal dan agresif. Mereka ada aura thrash metal yang cukup kuat. Barbarik pula datang dengan pendekatan heavy metal yang lebih groove, lebih rebel dan lebih ‘street’.
“Tetapi bila dua karakter ini disatukan, ia jadi macam konsep Yin dan Yang. Dua benda yang nampak bertentangan, tetapi sebenarnya saling melengkapi dan menghasilkan satu aura yang sangat luar biasa,” katanya sewaktu sidang media konsert berkenaan di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur pada 18 Mei Lalu.

Menurut Jobranko, falsafah itu bukan sahaja diterjemahkan menerusi pemilihan nama konsert, malah menjadi asas kepada keseluruhan pengalaman yang bakal dipersembahkan kepada penonton termasuk visual, susunan pentas, pencahayaan dan perjalanan emosi persembahan.
Katanya, dia tidak mahu Black On White menjadi sebuah konsert rock biasa yang hanya menampilkan deretan lagu tanpa jiwa atau elemen kejutan.
“Saya memang tak suka buat konsert yang terlalu straight forward. Pada saya, orang beli tiket bukan semata-mata nak tengok band naik pentas dan main lagu. Mereka datang sebab nak rasa pengalaman. Mereka mahu pulang dengan sesuatu yang melekat dalam kepala dan jiwa mereka.
“Sebab itu kami banyak berbincang mengenai bagaimana mahu jadikan Black On White ini lebih daripada sekadar persembahan muzik. Kami mahu ada elemen penceritaan, ada turun naik emosi, ada momen yang buat penonton rasa meremang,” katanya.

Menurutnya lagi, antara segmen paling istimewa dalam konsert itu ialah tribute khas buat Kembara yang bakal dipersembahkan dengan susunan muzik lebih berat tanpa menghilangkan roh asal karya berkenaan.
Jobranko berkata, idea tribute itu lahir secara spontan ketika mereka berbincang mengenai muzik yang banyak mempengaruhi perjalanan seni masing-masing sejak remaja.
“Kami membesar dengan lagu-lagu Kembara. Orang mungkin nampak kami bermain muzik keras, tetapi muzik seperti Kembara ini sebenarnya sangat dekat dengan jiwa kami.
“Lagu-lagu mereka ada roh, ada perjuangan dan ada mesej yang sangat kuat. Itu yang membuatkan karya mereka kekal hidup sampai sekarang. Jadi kami fikir, kenapa tidak kami bawa lagu-lagu itu dalam versi yang lebih berat tetapi masih mengekalkan emosi asalnya.
“Kami bukan mahu rosakkan lagu asal, tetapi kami mahu beri penghormatan dengan cara kami sendiri,” katanya.
Menurutnya, segmen tribute itu juga bakal menyaksikan gabungan kedua-dua kumpulan di atas pentas dalam beberapa persembahan khas yang disifatkannya sebagai antara momen paling epik dalam konsert berkenaan.
“Kami cuba bayangkan bagaimana lagu-lagu Kembara ini akan berbunyi kalau dimainkan dalam energi Black On White. Jadi akan ada gabungan riff berat, solo gitar dan susunan dramatik yang mungkin orang tak pernah dengar sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, gitaris Cromok, Karl Cromok menyifatkan kolaborasi antara Cromok dan Barbarik sebagai sesuatu yang jarang berlaku dalam industri muzik tempatan kerana kedua-duanya memiliki identiti muzik dan pendekatan persembahan yang cukup berbeza.
Menurut Karl, perbezaan itu sebenarnya menjadi kekuatan utama Black On White.
“Kalau tengok karakter Cromok dan Barbarik, memang sangat berbeza. Cromok lebih teknikal dan banyak bermain dengan struktur thrash metal, manakala Barbarik pula lebih kepada heavy metal yang lebih liar dan anthemik.
“Tetapi bila dua identiti ini digabungkan, ia mencipta sesuatu yang segar. Penonton bukan sahaja dapat tengok dua band perform, tetapi mereka akan rasa pertembungan dua dunia muzik dalam satu malam,” katanya.
Karl berkata, peminat bukan sahaja bakal disajikan dengan lagu-lagu ikonik daripada kedua-dua kumpulan, malah beberapa kolaborasi eksklusif termasuk persembahan single baharu yang akan dimainkan secara langsung buat pertama kali.
Menurutnya, antara elemen paling unik dalam konsert itu ialah penggunaan konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

“Kami menggunakan pendekatan 100 peratus digital tanpa amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas. Semua audio dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor supaya bunyi lebih bersih, lebih konsisten dan lebih moden.
“Ini sebenarnya standard yang sudah lama digunakan di luar negara, tetapi di Malaysia masih belum banyak band rock atau metal menggunakan pendekatan seperti ini untuk konsert berskala besar,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Barbarik tetap mengekalkan identiti persembahan mereka menerusi pendekatan lebih organik menggunakan monitor wedges dan setup konvensional.
“Itulah yang menarik mengenai Black On White. Walaupun kami berada dalam satu konsert, kedua-dua band masih mengekalkan identiti masing-masing. Penonton boleh nampak sendiri perbezaan karakter itu, daripada bunyi, visual hinggalah kepada cara persembahan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Karl turut meluahkan rasa kecewa terhadap kadar cukai hiburan tinggi di beberapa negeri yang disifatkan menjadi cabaran besar kepada penganjur dan band tempatan untuk membawa konsert berskala besar ke luar Lembah Klang.
Menurutnya, kos penganjuran konsert hari ini semakin tinggi dan situasi itu menjadi lebih sukar apabila ada negeri mengenakan cukai hiburan sehingga 25 peratus.
“Di Kuala Lumpur dan Selangor, alhamdulillah cukai hiburan untuk band tempatan adalah sifar. Jadi ia banyak membantu penganjur dan pemuzik.
“Tetapi di beberapa negeri lain, cukai terlalu tinggi sampai kadang-kadang memang sukar untuk balik modal. Bila buat kira-kira, penganjur mungkin cuma dapat sekitar 30 peratus keuntungan sahaja. Jadi bila cukai sudah cecah 25 peratus, memang sangat membebankan,” katanya.
Karl berharap lebih banyak kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pengurangan cukai hiburan bagi membuka lebih banyak peluang kepada band tempatan mengadakan jelajah di seluruh negara.
“Kalau cukai dapat dikurangkan, harga tiket juga boleh jadi lebih murah dan lebih ramai peminat mampu datang menyokong konsert tempatan.
“Band-band tempatan sebenarnya mahu pergi ke banyak negeri, tetapi faktor kos membuatkan banyak perancangan akhirnya terbantut,” katanya.
Karl juga turut menjelaskan bahawa konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan pentas biasa, sebaliknya menjadi platform eksplorasi baharu dalam penghasilan muzik moden yang semakin dipacu teknologi.
“Objektif utama kami adalah untuk mempromosikan industri muzik digital. Dalam proses penghasilan album baharu ini, kami turut menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam rakaman muzik,” katanya.
Beliau menambah, penggunaan teknologi bukan sahaja tertumpu kepada proses produksi muzik, malah turut diperluaskan kepada pemilihan peralatan dan persembahan pentas yang lebih futuristik.
Antara elemen yang diketengahkan termasuk penggunaan drum elektronik, gitar elektrik, sistem FX serta pelbagai teknologi audio moden yang mencerminkan perkembangan industri muzik masa kini.

Dalam masa sama, Karl Legacy turut menekankan usaha untuk mempromosikan jenama serta teknologi tempatan Malaysia yang dilihat semakin berkembang dan berpotensi besar di peringkat serantau.
Konsep konsert ini turut mengangkat kolaborasi seni merentas disiplin apabila turut melibatkan penggiat seni visual dan muzik, termasuk Encik Huda Mazli yang terlibat dalam aspek seni dan alat muzik. Selain itu, persembahan juga akan menampilkan siri karya seni yang dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pengalaman visual kepada penonton.
“Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu ekosistem kreatif yang menggabungkan muzik, seni visual dan teknologi dalam satu platform,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, penganjur turut optimis terhadap sambutan penjualan tiket yang kini dibuka lebih awal dengan tempoh promosi lebih sebulan sebelum acara berlangsung.
Konsert Black On White Cromok-Barbarik dianjurkan oleh KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik serta mendapat sokongan MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik di bawah Kementerian Komunikasi.
Tiket konsert ditawarkan bermula RM175 hingga RM998 mengikut kategori dan boleh didapati menerusi MyArteez serta Fantopia
