May 19, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Athierah Pertaruh Single Sulung Berjudul Berdiri

Spread the love

Penyanyi baharu, Nor Athierah Aqielah Nor Azman atau lebih dikenali sebagai Athierah, tampil mempertaruhkan single sulung berjudul Berdiri, sebuah lagu yang membawa mesej mengenai kekuatan diri, keberanian untuk bangkit dan semangat meneruskan kehidupan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu, lagu tersebut mempunyai kaitan rapat dengan perjalanan hidup dan pengalaman peribadinya sepanjang bergelar anak seni.

Katanya, dia terus merasakan hubungan yang kuat dengan lagu tersebut sebaik sahaja mendengar melodi dan susunan muziknya buat pertama kali.

“Bagi saya, lagu Berdiri sangat istimewa sebab mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya. Lagu ini banyak berkisarkan tentang kekuatan diri dan bagaimana kita bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup.

“Bila pertama kali dengar muzik dan melodi lagu ini, saya terus rasa bersemangat dan yakin lagu ini mempunyai sesuatu yang boleh sampai kepada pendengar,” katanya dalam satu kenyataan.

Single tersebut turut menyaksikan Athierah diberi peluang bekerjasama dengan komposer dan penerbit terkenal, Mohd Faizal Maas atau Ajai, yang disifatkannya sebagai pengalaman berharga dalam perjalanan seninya.

Menurut Athierah, sepanjang proses rakaman berlangsung, dia banyak mempelajari aspek penting dalam penyampaian lagu, terutama dari segi emosi dan penghayatan.

“Bekerja dengan Uncle Ajai memang satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila. Banyak perkara yang saya belajar daripada beliau, terutama tentang bagaimana untuk menyampaikan emosi dalam lagu dengan lebih jujur dan tepat.

“Uncle Ajai juga sangat teliti ketika proses rakaman. Kadang-kadang perkara kecil pun diberi perhatian supaya hasil akhirnya benar-benar memberi kesan kepada pendengar,” katanya.

Athierah berkata, minatnya terhadap dunia nyanyian bermula sejak kecil dan dia aktif dalam bidang seni serta persembahan sejak usia muda.

Bagaimanapun, katanya, perjalanan untuk serius dalam industri hiburan bukan sesuatu yang mudah kerana dia turut melalui pelbagai cabaran sebelum diberi peluang merakamkan single sendiri.

“Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi. Dari dulu saya suka buat persembahan dan aktif dalam bidang seni. Tapi untuk sampai ke tahap sekarang, saya lalui macam-macam pengalaman dan cabaran juga.

“Jadi bila diberi peluang untuk merakamkan lagu Berdiri, saya rasa sangat bersyukur sebab ini merupakan peluang yang sangat besar buat saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Athierah berkata dia berharap dapat terus menghasilkan lebih banyak karya baharu selain mencabar diri meneroka pelbagai genre muzik pada masa depan.

Katanya, perkembangan industri muzik yang semakin kompetitif turut mendorong dirinya untuk terus belajar dan memperbaiki diri sebagai seorang penghibur.

Selain bidang nyanyian, Athierah kini turut melanjutkan pengajian dalam jurusan Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menurutnya, pengalaman dalam dunia lakonan dan teater banyak membantu meningkatkan keyakinan diri, ekspresi emosi serta cara membawa diri ketika membuat persembahan di atas pentas.

Sebagai rekod, lagu Berdiri yang diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) kini boleh didengar di semua platform digital manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page