Blindsided lancar single baharu “Gravely Unforgiven”
Band groove metal dari Kuching, Blindsided tampil dengan single terbaharu berjudul “Gravely Unforgiven”, yang dilancarkan pada 16 Mei lalu bersama video muzik rasmi yang diterbitkan sendiri.
Lagu tersebut merupakan susulan kepada karya mereka sebelum ini, “MVRDER” yang diterbitkan pada 2023, dengan mengetengahkan tema berkaitan pembunuhan, rasa bersalah dan keruntuhan psikologi manusia akibat kebencian serta dendam.
Menurut Blindsided, “Gravely Unforgiven” membawa pendengar menyelami kesan selepas pertumpahan darah, apabila emosi negatif mula menguasai fikiran dan memusnahkan segala-galanya di sekeliling.
“Video muzik ini menggambarkan kejatuhan psikologi selepas pembunuhan, di mana kebencian dan dendam mula memakan segala yang ada,” menurut kenyataan band itu.
Mereka berkata karya tersebut turut mencerminkan realiti kejam sifat manusia apabila pertimbangan dan penghakiman dikuasai tekanan emosi paling mendalam.
Single bergenre groove metal itu menampilkan lirik hasil tulisan Blindsided sendiri, manakala proses adunan dan mastering dilakukan oleh Farid Syarmany, yang juga pemain gitar utama, ketua band serta penulis lagu utama kumpulan tersebut.
Video muzik rasmi lagu itu diterbitkan secara kolaboratif bersama Purrfect Studio dan 93K in Pain dengan menampilkan visual agresif serta atmosfera suram yang selari dengan tema lagu.
“Gravely Unforgiven” kini boleh distrim menerusi platform digital termasuk Spotify dan Apple Music.
Video muzik rasmi pula boleh ditonton di YouTube.
Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan Blindsided menerusi laman sosial rasmi mereka di Facebook dan Instagram.
