Selepas 16 Juta Tontonan, Tantari Kembali Dengan Lagu Patah Hati
Selepas mencipta fenomena luar biasa menerusi lagu Rindu Hatiku Rindu yang meraih lebih 16 juta tontonan di YouTube, penyanyi cilik sensasi, Tantari kembali mempertaruhkan single baharu berjudul 1 Cinta 1 Rindu.
Masih mengekalkan sentuhan komposer terkenal Eddie Hamid, lagu berkenaan hadir dengan elemen emosi yang lebih mendalam apabila mengangkat kisah cinta yang gagal dipertahankan meskipun perasaan rindu masih menebal dalam hati.
Menurut Eddie, karya tersebut diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku di sekelilingnya selain diselitkan pengalaman emosi peribadi bagi menjadikan penyampaian lagu lebih jujur.
“Lagu ini diinspirasikan daripada kisah-kisah benar yang berlaku di sekeliling saya termasuk pengalaman individu terdekat yang bergelut dengan rasa rindu.
“Saya juga menyuntik sedikit emosi yang pernah saya rasai sendiri agar penyampaian itu kedengaran lebih tulus dan dekat dengan pendengar,” katanya.
Lirik hasil ciptaan Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha pula menterjemahkan realiti hubungan moden yang tidak semuanya berakhir dengan kebahagiaan.
Dalam masa sama, Tantari mengakui proses merakamkan lagu tersebut menjadi antara pengalaman paling mencabar sepanjang perjalanan seninya.
Katanya, dia perlu mencari keseimbangan dalam menyampaikan emosi supaya tidak terlalu berlebihan, namun tetap mampu ‘sampai’ ke hati pendengar.

“Cabaran paling besar adalah untuk menjiwai rasa rindu dan kesedihan itu. Saya perlu berhati-hati supaya penyampaian tidak terlalu emosional, tetapi pada masa sama vokal perlu cukup kuat untuk membuatkan pendengar turut merasai kesedihan tersebut,” ujarnya.
Tambah Tantari, dia mengambil masa beberapa minggu untuk memahami keseluruhan emosi lagu sebelum memasuki studio rakaman.
Rakaman vokal juga dilakukan dalam beberapa sesi berasingan bagi memastikan setiap bait lirik dapat disampaikan dengan sempurna.
Dalam pada itu, video muzik rasmi 1 Cinta 1 Rindu turut dihasilkan dengan jalan cerita dramatik yang selari dengan mesej lagu berkenaan.
Tantari berharap lagu tersebut mampu menjadi peneman buat mereka yang pernah melalui episod perpisahan dan masih menyimpan rasa rindu terhadap insan tersayang.
Single terbitan Nova Music Malaysia itu boleh mula distrim di semua platform digital bermula 22 Mei ini manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi YouTube Nova Music Videos pada pukul 3 petang hari sama.
