Two Door Cinema Club ‘Landing’ KL, Bawa Nostalgia Tourist History Selepas 15 Tahun
Demam muzik indie bakal kembali ‘menggila’ apabila kumpulan terkenal dari Ireland Utara, Two Door Cinema Club sah kembali ke Malaysia menerusi konsert Two Door Cinema Club 15th Anniversary Tour pada 19 Ogos depan di Mega Star Arena.
Lebih istimewa, trio yang dianggotai Alex Trimble, Sam Halliday dan Kevin Baird itu bakal mempersembahkan album ikonik mereka, Tourist History, secara penuh sempena ulang tahun ke-15 album berkenaan.
Konsert terbabit dijangka menjadi malam penuh nostalgia buat peminat muzik indie era 2010-an yang membesar dengan lagu-lagu hit seperti What You Know, Undercover Martyn, Something Good Can Work, I Can Talk dan This Is The Life.
Album Tourist History yang dilancarkan pada 2010 dianggap sebagai karya yang melonjakkan nama Two Door Cinema Club ke peringkat antarabangsa menerusi gabungan bunyi indie rock dan dance-pop yang segar serta penuh tenaga.
Menurut kenyataan band terbabit, jelajah ulang tahun ini cukup bermakna kerana album tersebut menjadi titik perubahan terbesar dalam perjalanan muzik mereka.

“Tourist History adalah album yang mengubah perjalanan kami sebagai sebuah band. Membawakan album ini semula secara penuh di hadapan peminat adalah sesuatu yang sangat bermakna, apatah lagi selepas sekian lama kami tidak kembali ke Kuala Lumpur.
“15th Anniversary Tour ini menjadikan malam tersebut lebih istimewa dan kami tidak sabar untuk berkongsi momen epik ini bersama peminat di Malaysia,” kata Two Door Cinema Club.
Selain mempersembahkan keseluruhan album itu, peminat juga dijangka dihiburkan dengan beberapa lagi lagu popular daripada katalog muzik mereka sepanjang lebih sedekad berada dalam industri.
Penganjur, Faded Youth MY, berkata sambutan terhadap pengumuman konsert berkenaan sangat positif memandangkan Two Door Cinema Club mempunyai kelompok peminat yang besar di Malaysia.
Menurut wakil penganjur, konsert itu bukan sekadar membawa sebuah band antarabangsa ke Kuala Lumpur, tetapi meraikan satu era muzik yang cukup dekat dengan peminat tempatan.
“Two Door Cinema Club mempunyai pengikut yang sangat kuat di Malaysia. Kami percaya malam ini akan menjadi antara konsert indie antarabangsa paling dinantikan pada 2026,” katanya.

Tiket konsert akan mula dijual pada 23 Mei 2026, jam 10 pagi menerusi platform rasmi Ticket Empire.
Antara kategori tiket ditawarkan ialah Rock Zone (RM280), Cat 1 (RM320) dan Cat 2 (RM240), tidak termasuk caj pemprosesan.
