Mega Raya ANSARA Himpun 2,000 Alumni MRSM Seluruh Dunia – Jaringan, Kebajikan & Peluang Kerjaya Jadi Tumpuan
Himpunan Terbesar Alumni MRSM Satukan Ribuan Bekas Pelajar Dari Dalam Dan Luar Negara, Perkukuh Kerjasama Strategik Serta Inisiatif Pendidikan
Kredit Foto: Maestro Ridzuan
Mega Raya ANSARA terus mengukuhkan reputasinya sebagai perhimpunan alumni terbesar apabila berjaya menghimpunkan antara 1,800 hingga 2,000 bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun.
Program anjuran ANSARA itu mencatatkan kehadiran rasmi sekitar 1,500 peserta berdaftar, selain tambahan kira-kira 300 lagi melalui sesi ‘walk-in’, menjadikannya antara himpunan alumni paling meriah tahun ini.
Lebih daripada sekadar sambutan Hari Raya, Mega Raya ANSARA turut berfungsi sebagai platform jaringan strategik membabitkan tokoh profesional, pemimpin industri serta alumni pelbagai bidang dalam suasana lebih santai dan mesra.

Dalam masa sama, ANSARA memanfaatkan perhimpunan ini untuk memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan industri melibatkan sektor kewangan, koperasi dan korporat termasuk peluang latihan industri serta pekerjaan kepada alumni dan generasi muda MRSM.
Menariknya, sebahagian rakan strategik yang terlibat turut terdiri daripada bekas pelajar MRSM yang kini memegang jawatan penting dalam organisasi masing-masing, sekali gus memperkukuh ekosistem alumni yang saling menyokong.
Dengan jumlah alumni mencecah lebih 250,000 orang dan sasaran keahlian rasmi 100,000 menjelang 2027, ANSARA dilihat semakin agresif memperluas pengaruhnya melalui penglibatan berkualiti serta jaringan profesional yang lebih tersusun.

Selain fokus kepada pembangunan kerjaya, ANSARA turut memberi perhatian serius terhadap aspek kebajikan dan pendidikan. Tahun ini sahaja, sebanyak 261 keluarga telah dibantu bagi memastikan anak-anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA termasuk sokongan kewangan dan keperluan asas.
Pelbagai inisiatif lain turut dirancang sepanjang tahun termasuk program sukan wilayah, pertandingan kulinari, simposium keluarga serta debat antara universiti sempena sambutan 60 tahun MARA.

Menurut Presiden ANSARA Malaysia, Taufiq Hussein konsep penganjuran tahun ini sengaja direka lebih santai bagi mengelakkan acara terlalu formal dan memberi ruang interaksi lebih dekat antara alumni.
“Waktu petang nanti ada. Kita ‘spreadkan’ majlis kita supaya kita tahu ANSARA ni bila event dia, dia tidak terlalu formal. Dia jumpa kawan-kawan dan budak-budak maktab ni… dia duduk sekejap, makan-makan, ambil gambar,” katanya di Dewan Perdana Keramat Mall, 11 April lalu.
Beliau turut menjelaskan cabaran utama bukan sekadar menarik kehadiran ramai peserta, tetapi memastikan saiz acara berada pada tahap yang “tepat”.
“Kita nak kumpulkan itu bukan susah sangat untuk dapat jumlah, tetapi nak dapat ‘the right size’ itu yang payah sikit. Kita tak boleh terlalu besar, tak boleh terlalu kecil,” jelasnya.
Mengulas penglibatan alumni, beliau mengakui terdapat segelintir yang kurang berminat kerana menganggap program seperti itu sekadar pertemuan santai.
“Ada di kalangan ahli yang tak nak involve dalam perkara itu. Itu biasa… ada yang nampak alumni ini hanya tempat untuk bersembang-sembang,” katanya lagi.
Namun begitu, Mega Raya ANSARA terus dilihat sebagai platform penting yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim alumni pelbagai generasi, malah menghidupkan semangat kebersamaan dalam suasana Aidilfitri yang lebih santai, inklusif dan bermakna.
