Petaling Jaya Rai Dua Dekad Status Bandar Raya Dengan Festival Enam Hari
Petaling Jaya bakal disemarakkan dengan pelbagai aktiviti menarik apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 bermula 16 hingga 21 Jun ini sempena dua dekad pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya.
Sambutan selama enam hari itu menjanjikan pelbagai pengisian menarik menerusi 11 program utama dan enam perkhidmatan percuma yang dirangka bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti serta pemerkasaan budaya dalam kalangan warga kota.
Antara program utama yang disediakan ialah PJ Learning City Festival 2026, PJ Digital 2026, aktiviti kitar semula dan kelestarian alam sekitar, festival makanan, persembahan seni budaya, program kesihatan, pertandingan LEGO Robotics serta pelbagai aktiviti interaktif untuk kanak-kanak dan warga emas.

Kemuncak sambutan pada 20 Jun di Laman MBPJ dijangka menjadi tumpuan apabila barisan artis popular tanah air tampil menghiburkan pengunjung. Antara yang bakal membuat persembahan ialah Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani.
Selain itu, festival berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan artis lain sepanjang penganjuran. Penyanyi Cherpen dijadualkan membuat persembahan pada 19 Jun, manakala pentas penutup pada 21 Jun akan menampilkan Lan Solo bersama kumpulan Floor 88 dan KOI.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar meraikan ulang tahun bandar raya, malah menjadi platform untuk menghargai perjalanan dan pencapaian Petaling Jaya sepanjang 20 tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan Petaling Jaya berkembang sebagai sebuah bandar raya moden, mampan dan berdaya tahan adalah hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta serta pelbagai pihak berkepentingan.
“Dua dekad ini menyaksikan transformasi Petaling Jaya hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti, sektor swasta dan pelbagai pemegang taruh.
“Sambutan ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan bandar raya,” katanya pada Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 di Dewan Sivik MBPJ.

Sebagai penghargaan kepada warga kota, MBPJ turut menawarkan tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate sepanjang tempoh sambutan.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival berkenaan yang bukan sahaja meraikan sejarah bandar raya itu, malah memperkukuh semangat komuniti dan kebersamaan dalam kalangan warga Petaling Jaya.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang serta saluran media sosial rasmi MBPJ.
