June 9, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Salomé Das Rai Malaysia Dalam Single Sulung

Spread the love

Penyanyi pop Perancis-India, Salomé Das memilih Malaysia sebagai inspirasi utama dalam single solo sulungnya berjudul Back 2 Malaysia yang dilancarkan hari ini.

Lagu berentak pop musim panas itu menjadi luahan rasa cinta dan penghargaan Salomé terhadap negara yang disifatkannya sebagai rumah, meskipun dilahirkan di Munich, Jerman.

Dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berusia tiga bulan, Salomé mengakui Malaysia banyak membentuk identiti dirinya yang mempunyai latar belakang budaya Perancis, India dan Malaysia.

Menurut penyanyi itu, Back 2 Malaysia lahir daripada kerinduan yang sentiasa dirasainya setiap kali berada jauh dari negara ini.

“Tidak kira ke mana saya pergi di dunia ini, saya sentiasa membawa Malaysia bersama saya.

“Melalui makanan, budaya, kehangatan masyarakat, alam semula jadi dan semangat bebas yang saya rindui. Malaysia sentiasa memberi saya rasa gembira, nostalgia dan ketenangan seperti berada di rumah,” katanya.

Menggabungkan elemen instrumen tradisional Asia dan Malaysia dengan sentuhan pop moden antarabangsa, lagu tersebut membawa pendengar menyelami suasana tropika yang dekat dengan kehidupan zaman kanak-kanaknya.

Lebih menarik, karya itu turut mengangkat tema pencarian identiti dan makna sebenar sebuah rumah, sesuatu yang dekat dengan pengalaman hidup Salomé sebagai individu yang membesar dalam pelbagai budaya.

Sebelum ini, Salomé pernah mencuri perhatian menerusi lagu Life Is Simple yang meraih lebih 90 juta penstriman di Spotify selain membolehkannya membuat persembahan di hadapan lebih 8,000 penonton di Mumbai, India.

Bagaimanapun, penyanyi itu mengakui mengambil masa hampir dua tahun untuk mencari hala tuju muzik yang benar-benar menggambarkan dirinya sebelum menghasilkan Back 2 Malaysia.

Dirakamkan di Los Angeles pada tahun ini, lagu tersebut dianggap sebagai karya paling peribadi dalam perjalanan seninya setakat ini.

Selain muzik, Salomé turut dikenali dengan penampilan unik yang sering mengetengahkan elemen budaya Asia menerusi pemakaian batik, sarung, perhiasan tradisional India dan bindi.

Malah, dia memasang impian untuk memperkukuhkan representasi artis Asia di pentas antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat dari rantau ini untuk menembusi pasaran global.

Back 2 Malaysia kini boleh didengari di semua platform penstriman digital dan menjadi pembuka tirai kepada era baharu perjalanan muzik Salomé Das


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page