September 2, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

3DIVA Kembali ‘Gegar’ Malaysia, Tiket Serendah Rm138

Spread the love

Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ bersatu menerusi TIMELESS di Unifi Arena, November ini

Tiga diva tersohor Indonesia, Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ kembali ke Malaysia menerusi 3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS] yang bakal berlangsung di Unifi Arena, Kuala Lumpur, pada 22 November depan.

Lebih menarik, peminat berpeluang mendapatkan tiket pada harga serendah RM138 menerusi promosi Early Bird yang dibuka dari 5 hingga 19 September ini atau selagi stok masih ada.

Tiket mula dijual pada Sabtu ini, jam 12 tengah hari secara eksklusif menerusi platform MAISEAT.

Mengangkat tema ‘Three Voices. One Legacy.’, TIMELESS meraikan dua dekad perjalanan 3DIVA sejak Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ disatukan sebagai trio pada 2006.

Ketiga-tiga penyanyi berkenaan bukan nama asing buat peminat muzik Malaysia, malah karya dan vokal mereka sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik serantau selama beberapa dekad.

Pengarah Urusan T-Rex Studio Sdn Bhd, Audrey Wan Yuen Theng berkata, TIMELESS bukan sekadar konsert, sebaliknya sebuah perayaan terhadap perjalanan dan legasi 3DIVA yang bertahan selama dua dekad.

“Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ mempunyai hubungan yang cukup istimewa dengan peminat di Malaysia.  Lagu-lagu mereka telah menemani kita bertahun-tahun dan masih terus didengari sehingga hari ini.

“Dengan TIMELESS, kami mahu peminat bukan sahaja datang menyaksikan sebuah konsert, tetapi kembali menikmati memori, lagu dan perjalanan tiga figura yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik serantau,” katanya.

Menurutnya, promosi Early Bird dan pakej ‘Semua Jadi Satu’ turut diperkenalkan bagi memberi peluang kepada peminat hadir bersama keluarga serta sahabat.

Bagi promosi Early Bird, lima kategori tiket ditawarkan dengan penjimatan RM100 setiap satu.

Tiket CAT 5 yang sebelum ini berharga RM238 boleh diperoleh pada harga RM138, manakala CAT 4 turun daripada RM298 kepada RM198.

CAT 3 pula ditawarkan pada harga RM298 berbanding RM398, CAT 2 RM398 berbanding RM498 dan CAT 1 RM598 berbanding RM698.

Selain itu, peminat yang mahu hadir beramai-ramai boleh mendapatkan pakej ‘Semua Jadi Satu’ Bundle dengan pembelian minimum empat tiket kategori VIP. Menerusi pakej itu, harga setiap tiket VIP ialah RM798 berbanding harga biasa RM898.

TIMELESS turut menawarkan pengalaman eksklusif kepada pemegang tiket kategori premium termasuk Hi-Bye, Sound Check, sesi foto, poster bertandatangan dan After Party bersama 3DIVA, bergantung kepada kategori tiket.

Pemegang tiket VIP berharga RM898 mendapat akses Hi-Bye bersama 3DIVA dan Sound Check selain menerima photocard rasmi.

Seramai 300 pemegang tiket VIP pula akan dipilih secara cabutan untuk menyertai sesi foto berkumpulan 1:20 bersama 3DIVA, manakala 400 pemegang tiket VIP berpeluang menerima poster bertandatangan.

Bagi kategori SVIP berharga RM1,098, pemegang tiket mendapat akses After Party bersama 3DIVA selain Sound Check, sesi foto berkumpulan 1:20, photocard dan poster bertandatangan.

Lebih istimewa, 100 pemegang tiket SVIP akan dipilih menerusi cabutan untuk menikmati sesi foto 1:1 bersama ketiga-tiga diva.  Semua pemegang tiket, daripada SVIP hingga CAT 5, turut menerima poster rasmi acara.

3DIVA mempunyai sejarah panjang dalam industri muzik Indonesia selepas disatukan pada 2006, ketika ketiga-tiga penyanyi berkenaan sudah memiliki reputasi kukuh menerusi kerjaya solo masing-masing.

Gabungan tiga karakter, kekuatan vokal dan katalog muzik berbeza kemudian membentuk identiti tersendiri buat trio itu. Pada era awal 3DIVA, persembahan mereka turut mendapat sentuhan Erwin Gutawa sebagai penata muzik dan Jay Subiyakto sebagai penata artistik.

Hubungan trio itu dengan Malaysia juga bukan perkara baharu apabila mereka pernah membawa persembahan 3DIVA ke negara ini pada 2007.

Kini, selepas dua dekad perjalanan, Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ kembali berkongsi pentas di Malaysia menerusi TIMELESS.

Tujuh kategori tiket ditawarkan iaitu SVIP RM1,098, VIP RM898, CAT 1 RM698, CAT 2 RM498, CAT 3 RM398, CAT 4 RM298 dan CAT 5 RM238.

Semua kategori adalah tempat duduk dan harga tidak termasuk yuran tempahan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page