September 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Kempen S.O.S 4 INAZ gabung muzik, solidariti bantu kos pembedahan

Spread the love

Komuniti muzik dan orang ramai dijemput menyokong kempen S.O.S 4 INAZ yang dianjurkan sempena Indie Vibes @ Panggung Anniversari pada 5 September ini bagi membantu seorang kanak-kanak yang memerlukan pembedahan akibat masalah skoliosis.

Inaz, anak kelima Andy daripada kumpulan Flop Poppy, kini mengalami skoliosis serius dengan kelengkungan tulang belakang kira-kira 48 darjah.

Berdasarkan penilaian pakar yang dikongsikan keluarganya, Inaz memerlukan pembedahan dalam masa terdekat dengan anggaran kos rawatan berjumlah kira-kira RM97,000.

Kempen S.O.S 4 INAZ menjadi antara fokus utama edisi Indie Vibes kali ini, yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan.

Ia turut mendapat sokongan Persatuan Karyawan Malaysia dalam usaha menggabungkan platform seni dan muzik dengan gerakan kemasyarakatan bagi membantu Inaz dan keluarganya.

Sepanjang acara itu, jualan barangan amal dan kutipan sumbangan untuk Inaz akan diadakan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang secara langsung kepada keperluan perubatannya.

Dalam pada itu, Andy sendiri akan membuat persembahan pada acara berkenaan, menjadikan edisi kali ini lebih bermakna apabila muzik, keluarga, rakan-rakan dan komuniti dihimpunkan untuk satu tujuan.

Indie Vibes pada masa sama terus mengekalkan identitinya sebagai platform yang meraikan kepelbagaian genre dan latar belakang muzik, dengan persembahan oleh Tres Émpre, Andy, Versevil dan Rina-Hime, manakala Bob Ringgo bertindak sebagai pengacara.

Program berkenaan akan berlangsung dari jam 3 petang hingga 7 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, di sini, dengan kemasukan adalah percuma.

Orang ramai bukan sahaja boleh menikmati persembahan muzik secara percuma, malah berpeluang menyokong kempen S.O.S 4 INAZ menerusi pembelian barangan amal, sumbangan, perkongsian maklumat mengenai kempen atau sekadar hadir bagi menunjukkan sokongan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Inaz, orang ramai boleh menghubungi Andy di talian 016-3270712.

Penganjur turut membuka ruang terhad secara percuma kepada individu atau organisasi yang berminat untuk menyertai jualan amal semasa acara tersebut, tertakluk kepada penilaian dan kelulusan penganjur.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Amad di talian 014-717 6276.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page