September 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Zairita Ukir Sejarah, Wanita Malaysia Pertama Dinobat ‘SHE For The Nation’

Spread the love

Bawa Nama Malaysia Ke Pentas Antarabangsa, Rai Tiga Pengiktirafan Berprestij Di Sri Lanka

“Ke mana sahaja saya pergi, saya membawa Malaysia bersama saya.”  Itu luahan penuh bangga tokoh perniagaan, usahawan dan profesional perdagangan antarabangsa, Dato’ Dr. Hjh. Zairita Azlin, selepas melakar sejarah sebagai wanita Malaysia pertama dinobatkan sebagai She For The Nation – Season 2 di Sri Lanka.

Lebih bermakna, mahkota berprestij itu diterima hanya beberapa hari sebelum Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-69, sekali gus menjadikan pencapaian berkenaan detik cukup istimewa buat Zairita.

Beliau menerima mahkota berkenaan dalam majlis berprestij yang berlangsung di Kediaman Perdana Menteri Sri Lanka, Temple Trees, Colombo, pada 29 Ogos lalu.

Mahkota itu disampaikan oleh Maithripala Sirisena, Presiden ketujuh Sri Lanka, sebagai pengiktirafan terhadap perjalanan profesional serta sumbangan Zairita dalam bidang pengurusan projek antarabangsa, perdagangan dan diplomasi.

Tidak hanya menerima satu pengiktirafan, Zairita turut membawa pulang dua lagi anugerah antarabangsa, menjadikan keseluruhannya tiga penghormatan yang diterimanya pada majlis berkenaan.

Beliau menerima The Presidential Global Excellence Award in International Project Management & Trade Diplomacy yang disampaikan Maithripala sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangannya dalam pengurusan projek antarabangsa serta diplomasi perdagangan.

Zairita turut menerima The Global Legacy of Excellence Award for Business Leadership & Entrepreneurship, yang disampaikan pelakon terkenal India, Garuda Ram, bagi mengiktiraf pencapaiannya dalam kepimpinan perniagaan dan keusahawanan.

Ditemui media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 1 September lalu, Zairita berkata, ketiga-tiga penghargaan itu diterima dengan penuh rasa syukur, namun pada masa sama hadir bersama tanggungjawab lebih besar untuk membawa nama negara.

“Saya menerima ketiga-tiga penghargaan ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati. Untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa sememangnya amat bermakna, namun berdiri di pentas tersebut sebagai seorang wanita Malaysia membawa satu tanggungjawab yang lebih besar.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya membawa nama Malaysia bersama saya,” tegasnya.

Menurutnya, kejayaan itu tidak seharusnya dilihat sebagai pencapaian peribadi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada usaha membuka peluang dan memberi inspirasi kepada lebih ramai individu, khususnya wanita.

“Bagi saya, kepimpinan tidak pernah hanya tentang mencapai kejayaan untuk diri sendiri. Ia adalah tentang mencipta peluang, membina jambatan, membuka ruang dan meninggalkan sesuatu yang bermakna untuk mereka yang datang selepas kita.

“Jika perjalanan saya mampu memberi keberanian kepada walaupun seorang wanita untuk melangkah ke hadapan dengan yakin, berani dan penuh tujuan, maka setiap cabaran yang dilalui amat berbaloi,” katanya.

Mengimbas kembali perjalanan menyertai She For The Nation – Season 2, Zairita mengakui pada awalnya beliau berasa rendah diri apabila melihat calon lain yang mempunyai pencapaian hebat.

“Pada awalnya saya sendiri berasa rendah diri apabila melihat calon lain yang mempunyai pencapaian hebat. Untuk berada dalam kelompok 20 terbaik pun sudah saya anggap satu kejayaan.

“Namun, apabila akhirnya dipilih sebagai penerima dan menjadi wanita Malaysia pertama menerima She For The Nation, perasaan saya sukar digambarkan. Saya anggap kejayaan ini sebagai hadiah untuk Malaysia,” katanya.

Menurutnya, proses pemilihan bukan mudah apabila peserta menjalani latihan dan penilaian intensif selama tiga hari menerusi pelbagai tugasan di luar bidang masing-masing.

Antaranya, peserta perlu mempersembahkan lagu Malaysia mengikut koreografi ditetapkan penganjur dan Zairita diberikan lagu Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya berjaya mendapat tempat pertama dalam penilaian persembahan lagu itu. Selain itu, kami turut menjalani sesi fotografi yang menekankan aspek pemberdayaan wanita dan keberanian melakukan sesuatu di luar kebiasaan.

“Pengalaman itu mengajar saya bahawa kita tidak boleh terlalu takut untuk mencuba perkara baharu,” katanya.

Bagi Zairita, antara kekuatan wanita Malaysia yang membolehkannya diterima di pentas antarabangsa ialah nilai adab, budaya serta kemampuan rakyat negara ini hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya mahu membawa identiti Malaysia bersama. Bagi saya, pengiktirafan ini bukan hanya mengenai pencapaian diri, tetapi tanggungjawab untuk menunjukkan kemampuan wanita Malaysia di peringkat dunia,” katanya.

Mengulas nilai sentimental pencapaian itu, Zairita berkata, pengiktirafan berkenaan diterima hanya beberapa hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, menjadikan detik itu lebih dekat di hatinya.

“Ia merupakan satu penghormatan yang akan saya simpan dekat di hati, lebih-lebih lagi kerana saya menerimanya hanya beberapa hari sebelum Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-69.

“Untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa pada waktu yang begitu bermakna buat negara kita menjadikan detik ini sangat peribadi.

“Saya menerima penghargaan ini bukan hanya sebagai cerminan perjalanan saya, tetapi juga dengan rasa bangga sebagai seorang wanita Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Zairita menegaskan She For The Nation kekal paling dekat di hatinya kerana ia mencatat sejarah sebagai pencapaian pertama wanita Malaysia dalam pengiktirafan berkenaan.

“Saya mahu wanita Malaysia percaya kepada diri sendiri dan jangan mudah mengalah. Kita mempunyai bakat dan kemampuan yang besar, cuma kadangkala kita memerlukan peluang serta platform untuk membuktikannya.

“Kalau saya boleh bangkit daripada kegagalan dan berada di pentas antarabangsa hari ini, saya percaya wanita Malaysia yang lain juga mampu pergi lebih jauh,” katanya.

Katanya, pencapaian rakyat Malaysia di luar negara bukan sekadar membawa nama individu, sebaliknya turut membawa bersama identiti, semangat dan kebanggaan terhadap tanah air.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya membawa Malaysia bersama saya. Pengiktirafan ini bukan hanya tentang sejauh mana saya telah melangkah, tetapi tentang sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia mampu melangkah,” katanya.

Majlis pengiktirafan yang dianjurkan Anyelp Groups itu menghimpunkan pengiktirafan terhadap wanita yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, sumbangan antarabangsa, pemerkasaan wanita serta usaha membina kerjasama global.

Pada masa sama, majlis berkenaan turut membuka ruang kepada Zairita untuk mengukuhkan jaringan antarabangsa, khususnya hubungan antara Malaysia dan Sri Lanka dalam bidang perniagaan, perdagangan serta kerjasama global.

Bagi Zairita, pengiktirafan di peringkat antarabangsa perlu dilihat sebagai peluang untuk membina lebih banyak jambatan antara masyarakat, organisasi, industri dan negara.

Penglibatan beliau dalam pembangunan perniagaan, keusahawanan, kerjasama antarabangsa dan pemerkasaan wanita menjadi antara asas perjalanan profesionalnya sehingga berjaya membawa nama Malaysia ke pentas global.

Zairita juga merupakan penulis buku berkaitan kerjaya dan perjalanan profesionalnya yang mencerminkan komitmennya dalam membina hubungan antarabangsa, mencipta peluang serta mengukuhkan hubungan Malaysia dengan komuniti perniagaan dunia.

Dengan tiga pengiktirafan yang diterima di Colombo, Zairita kini membuka satu lagi lembaran dalam perjalanan profesionalnya, bukan hanya sebagai usahawan dan pemimpin wanita, tetapi sebagai wanita Malaysia yang membawa nama negara ke pentas antarabangsa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page