YESUNG Kembali, Raikan 10 Tahun Solo di Kuala Lumpur

Selepas mencipta fenomena bersama Super Junior selama lebih dua dekad, vokalis bersuara unik, YESUNG bakal meraikan ulang tahun ke-10 kerjaya solonya menerusi konsert khas di Kuala Lumpur, November ini.
YESUNG akan menemui ELF Malaysia menerusi 2026 YESUNG 10TH ANNIVERSARY TOUR [ABOUT THE THINGS WE CALLED ORDINARY] IN KUALA LUMPUR yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 November 2026.
Konsert anjuran iMe Malaysia itu pastinya menjadi momen istimewa buat peminat apabila YESUNG membawa perjalanan muzik solonya yang sudah menjangkau sedekad ke pentas Malaysia.
Dikenali sebagai antara vokalis paling berkarakter dalam generasi kedua K-pop, YESUNG mempunyai kekuatan tersendiri menerusi vokalnya yang serak, bertekstur dan sarat emosi.
Sejak membuat debut bersama Super Junior pada 2005, penyanyi kelahiran Korea Selatan itu bukan saja mengukuhkan kedudukan sebagai vokalis utama kumpulan berkenaan, malah turut mencuri perhatian menerusi beberapa lagu runut bunyi drama Korea popular.
Antaranya termasuk It Has to Be You, lagu tema drama Cinderella’s Sister, serta Gray Paper daripada That Winter, the Wind Blows.
Kedua-dua lagu berkenaan memperlihatkan keupayaan YESUNG menghidupkan emosi menerusi vokal yang mendalam, sekali gus menjadikannya antara penyanyi pilihan untuk karya berkonsep dramatik dan penuh perasaan.
YESUNG kemudian melangkah lebih jauh sebagai artis solo menerusi mini album pertamanya, Here I Am. Sepanjang 10 tahun, dia terus bereksperimen dengan pelbagai genre, daripada balada yang menyentuh jiwa hinggalah City Pop dan Indie Rock.
Pendekatan berkenaan membentuk identiti muzik YESUNG yang tersendiri, sekali gus membuktikan dia mampu berdiri kukuh sebagai artis solo tanpa bergantung kepada reputasi Super Junior semata-mata.
Menerusi jelajah kali ini, tema ABOUT THE THINGS WE CALLED ORDINARY membawa makna cukup dekat dengan perjalanan seninya. Ia bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi turut menjadi penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokongnya sepanjang sedekad perjalanan sebagai penyanyi solo.
Justeru, peminat Malaysia berpeluang menyaksikan sendiri sisi YESUNG sebagai ‘The Voice of Art’ menerusi persembahan yang dijangka sarat dengan vokal mantap, emosi dan rangkaian karya solonya.

Konsert bermula 8 malam, manakala tiket ditawarkan pada harga RM398, RM598, RM698 dan RM798.
Bagi peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, pakej VIP merangkumi tiket duduk VIP, akses ke acara soundcheck, hadiah eksklusif serta pas dan lanyard VIP.
Jualan awal untuk pemegang E.L.F MEMBERSHIP menerusi Weverse dibuka pada 27 Ogos, jam 12 tengah hari hingga 6 petang melalui FANTOPIA.
Setiap kod keahlian membolehkan pembelian maksimum dua tiket.
Sementara itu, jualan umum dibuka pada 28 Ogos, jam 12 tengah hari menerusi FANTOPIA dan BookMyShow, dengan had dua tiket bagi setiap transaksi.
Dengan 10 tahun perjalanan solo yang bakal diraikan, kemunculan YESUNG di Kuala Lumpur dijangka menjadi malam penuh nostalgia dan emosi buat ELF Malaysia yang sudah lama mengikuti perjalanan muziknya.
