Lil J Tak Rela Jadi Mangsa Cinta, ‘Senjittah’ Jadi Senjata Sindiran

Daripada patah hati kepada gelak tawa, Lil J tampil dengan single baharu yang menyindir kecurangan sambil membawa mesej supaya lebih menghargai diri sendiri
Tak selamanya patah hati perlu dilayan dengan air mata. Itu pendekatan berbeza dibawa penyanyi hip-hop berbilang bahasa, Lil J, menerusi single terbaharunya, Senjittah, yang dilancarkan hari ini.
Jika kebanyakan lagu perpisahan berkisar mengenai tangisan, kecewa dan kenangan bersama bekas kekasih, Lil J memilih untuk ‘melawan’ rasa sakit itu dengan humor, sindiran dan tenaga positif.
Menerusi Senjittah, Lil J mengangkat kisah seorang lelaki yang merasakan segala pengorbanannya tidak pernah cukup buat pasangan yang akhirnya memilih untuk tidak setia.
Daripada terus meratap, dia memilih untuk ketawa, mengambil pengajaran dan meninggalkan hubungan yang dianggap tidak lagi sihat.
“Patah hati ialah pengalaman yang dilalui ramai orang dan selalunya kita hanya mendengar tentang betapa peritnya pengalaman itu. Saya mahu melihatnya daripada sudut yang berbeza. Ada kalanya, kita perlu menoleh ke belakang, mentertawakan apa yang berlaku, mengambil pengajaran daripadanya dan terus melangkah,” katanya.
Lebih menarik, Senjittah bukan sekadar lagu mengenai kecurangan, sebaliknya membawa mesej supaya seseorang tidak terlalu lama terperangkap dalam hubungan yang meragut kebahagiaan diri.
Lil J percaya, cinta tidak sepatutnya membuatkan seseorang mengorbankan masa, tenaga dan harga diri demi insan yang tidak menghargai mereka.

“Kita perlu cukup menyayangi diri sendiri untuk mengetahui bila tiba masanya untuk pergi. Kita tidak seharusnya mengorbankan kebahagiaan, masa dan tenaga demi seseorang yang tidak menghargai kita. Ia mungkin sukar, tetapi kita perlu mengenali petandanya dan mula memandang ke hadapan,” katanya.
Di sebalik lirik yang bersahaja dan menghiburkan, Senjittah sebenarnya tercetus daripada pengalaman peribadi Lil J. Penyanyi itu pernah melalui fasa apabila dirinya merasakan segala usaha dilakukan dalam sesebuah hubungan masih belum mencukupi.
Pengalaman berkenaan kemudian diterjemahkan ke dalam karya yang lebih ringan supaya pendengar dapat melihat isu patah hati daripada perspektif berbeza. Konsep lagu dibangunkan Lil J bersama DJ Biggie, manakala produksinya dikendalikan DJ Biggie dan DJ Freazz.
“Sebaik sahaja mendengar rentaknya, saya tahu kami perlu menghasilkan sesuatu yang berbeza. DJ Biggie mencadangkan supaya kami mengangkat tema patah hati tetapi menyampaikannya dengan cara yang lucu. Pendekatan itu terasa segar dan memberi ruang kepada kami untuk mengubah pengalaman yang sukar menjadi sesuatu yang menghiburkan serta positif,” katanya.
Lebih istimewa, Senjittah turut menjadi single pertama daripada album Tamil sulung Lil J yang bakal dilancarkan. Projek itu menjadi ruang buat Lil J kembali menyelami akar budaya sendiri, selain meneroka bunyi dan penceritaan baharu dalam muzik hip-hop.
Bahasa Tamil menjadi tunjang album berkenaan, namun beberapa lagu turut menggabungkan Tamil dan Inggeris.
“Saya sangat teruja kerana ini merupakan album Tamil pertama saya. Senjittah ialah pengenalan pertama kepada perjalanan tersebut.
“Album ini akan menampilkan gabungan bahasa Tamil dan Inggeris kerana pada pandangan saya, percampuran bahasa menjadikan muzik lebih menarik dan mencerminkan semangat kepelbagaian budaya dalam hip-hop,” katanya.

Walaupun memberi tumpuan kepada album Tamil, Lil J tidak bercadang meninggalkan muzik Melayu dan Inggeris. Malah, dia mahu terus menghasilkan karya dalam ketiga-tiga bahasa serta membuka ruang untuk bekerjasama dengan lebih ramai artis Melayu.
“Walaupun sedang mengusahakan album Tamil, saya tetap mendapati diri saya menulis lagu-lagu Melayu secara semula jadi.
“Saya ingin menghasilkan lebih banyak muzik berbahasa Melayu dan bekerjasama dengan artis-artis Melayu pada masa hadapan. Saya tidak mahu mengehadkan diri kepada satu bahasa atau satu jenis muzik sahaja,” katanya.
Single kedua juga kini dalam proses pembikinan dan dijangka menawarkan bunyi serta pendekatan berbeza kepada peminat.
Bagi Lil J, album berkenaan bukan sekadar koleksi lagu, sebaliknya menjadi satu lagi langkah dalam perjalanan seninya untuk menggabungkan identiti Tamil, kecintaan terhadap muzik Melayu dan pengaruh hip-hop pelbagai budaya.
“Pada akhirnya, semuanya adalah tentang menghasilkan muzik yang baik, membina hubungan dengan orang ramai dan terus berkembang sebagai seorang artis,” katanya.
Senjittah kini boleh didengarkan di semua platform penstriman.
