August 24, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Ella ‘Pulang’ Dengan Aksi Padu, 60 Tahun Tetap ‘Rock’

Spread the love

Usia 60 tahun bukan alasan untuk mengendurkan semangat rock! Penyanyi legenda, Ella membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ apabila tampil bertenaga dalam Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru di Setia SPICE Arena, malam tadi.

Lebih manis, kepulangan Ella ke Pulau Pinang selepas kali terakhir beraksi di negeri kelahirannya itu pada 2023 disambut dengan arena penuh sesak apabila konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen berkenaan mencatatkan tiket habis terjual.

Bukan sekadar konsert, persembahan itu turut menjadi pentas istimewa buat Ella meraikan ulang tahun ke-60 bersama peminat yang sudah puluhan tahun menyokong perjalanan seninya.

Bagi Ella, Pulau Pinang bukan sekadar lokasi persembahan, sebaliknya negeri yang menyimpan kisah awal kehidupannya sebelum dia mencipta nama sebagai antara ratu rock paling berpengaruh dalam industri muzik tempatan.

“Pulau Pinang sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati saya kerana di sinilah saya dilahirkan.  Apabila kita namakan konsert ini ‘Homecoming’, ia benar-benar membawa maksud pulang ke tempat awal permulaan.

“Lebih istimewa, saya dapat meraikan hari jadi bersama mereka yang dekat serta orang-orang yang saya sayangi. Melihat arena penuh malam ini merupakan satu hadiah yang sangat bermakna buat saya,” katanya.

Malam itu semakin bermakna apabila Ella turut diraikan bersama dua nama besar industri muzik tempatan, Dato’ Ramli Sarip dan Ziana Zain.

Sebaik lampu arena dipadamkan, Ella membuka pentas dengan deretan lagu popular termasuk Rama-Rama, Kesal, Bayangan, selain medley Cinta Selembut Sutera dan Retak.

Lagu Tiada Tangis Lagi, Kasih dan Pedih turut menggamit memori apabila ribuan peminat tanpa segan silu menyanyi bersama dari awal hingga akhir.

Ternyata usia bukan penghalang apabila vokal Ella masih mampu menghidupkan suasana arena, malah setiap lagu seakan membawa penonton mengimbau kembali perjalanan muziknya sejak beberapa dekad lalu.

Sorakan penonton semakin bergema apabila Dato’ Ramli Sarip muncul di pentas.   Ramli membawakan Istilah Bercinta dan Teratai, sebelum bergandingan dengan Ella menerusi Kembara Kita.

Gabungan dua legenda rock itu ternyata mencetuskan momen ‘pecah’ apabila penonton bangun memberikan sokongan terhadap persembahan mereka.

Ziana Zain pula tampil dengan Madah Berhelah, sebelum berkongsi pentas bersama Ella menerusi medley Senja Nan Merah dan Nuri.

Duet dua figura wanita berkenaan menjadi antara detik paling mencuri perhatian apabila sorakan panjang bergema sebaik mereka mengakhiri persembahan.

Menariknya, kemeriahan tidak hanya bermula ketika konsert.   Ella terlebih dahulu meluangkan masa meraikan ulang tahun kelahirannya bersama sekumpulan pemegang tiket terpilih, sekali gus memberi peluang kepada peminat berkongsi detik istimewa bersama penyanyi kesayangan mereka.

Kehadiran peminat dari Pulau Pinang, negeri-negeri utara dan seluruh Malaysia, malah ada yang datang dari Sumatera, Indonesia, memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh Ella merentasi sempadan.

Konsert itu turut membawa mesej kebajikan menerusi kempen Peace.Love.Rindu, dengan RM2 daripada setiap tiket terjual disalurkan kepada organisasi pilihan pembeli.

Kategori Peace menyumbang kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), manakala Rindu kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, kejayaan konsert itu membuktikan muzik tempatan masih mempunyai kuasa untuk menyatukan peminat pelbagai generasi.

“Ella merupakan sebahagian penting daripada sejarah muzik Malaysia. Apa yang kita lihat malam ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi bagaimana muzik tempatan terus mempunyai kekuatan untuk menyatukan generasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D. berkata, konsep Majlis Tertinggi Rockqueen kini berkembang menjadi pengalaman yang turut dirasai dan dimiliki peminat.

Buat Ella, kepulangannya ke Pulau Pinang kali ini bukan sekadar memenuhi tuntutan pentas, tetapi sebuah ‘pulang’ yang penuh makna.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page