August 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Wings ‘Penyelamat’ Konsert 3 Veto

Spread the love

Kredit Foto:  Papadin

Tatkala Search Dan XPDC Menghangatkan Pentas, Wings Muncul Melengkapkan Malam Penuh Ledakan Dengan Persembahan Bertaraf Antarabangsa, Disokong Sistem Audio Menggegarkan Dada, Pencahayaan Spektakular Dan Visual Memukau Yang Menobatkan Mereka Sebagai Kemuncak Sebenar Konsert 3 Veto.

Dentuman dram memecah gegendang telinga. Deruman gitar elektrik membelah ruang Mega Star Arena. Pancaran cahaya beribu warna menari tanpa henti di segenap sudut pentas, manakala visual LED gergasi terus menyala gagah, mengiringi lautan manusia yang tenggelam dalam laungan, tepukan dan nyanyian beramai-ramai.

Ia bagaikan ‘pesta’ yang menggegarkan setiap inci Mega Star Arena apabila hampir 4,000 peminat berhimpun menyaksikan Konsert 3 Veto anjuran Batu Event Entertainment yang telah berlangsung pada 1 Ogos lalu.  Menghimpunkan tiga nama agung muzik rock negara iaitu XPDC, Search dan Wings dalam satu malam yang cukup intim dan nostalgia untuk dikenang satu masa nanti.

Mengangkat tema “Tiga Perjalanan, Tiga Kuasa, Satu Takdir”, konsert itu bukan sahaja menjadi medan mengimbau nostalgia, malah membuktikan karya tiga legenda rock tanah air masih mempunyai bisa luar biasa untuk menyatukan peminat daripada pelbagai generasi.

Persembahan pembukaan Kyoji Band berjaya memanaskan suasana sebelum XPDC mengambil alih pentas menerusi Gerak 2000 seraya meragut segala keresahan yang tertanam. Aura yang dipamerkan nyata terus memaku fanatika XPDC untuk terus tenggelam bersama Talam Dua Muka, Kita Peng Yu, Tangis Darah, Selendang Merdeka, Aku Masih Di Sini, Hentian Ini dan Nyanyuk.  XPDC tidak sekadar bermanifestasi pada ‘kelengkapan’ namun menoktahkan dengan Monggol Dah Pulang dan Apa Nak Dikata yang disalurkan dalam format medley.

Energi yang dibawa XPDC nyata berjaya menghidupkan malam apabila ribuan peminat tidak putus-putus menyanyi bersama, sekali gus membuka laluan sempurna kepada kemunculan Search.

Search kemudian meneruskan gelombang itu menerusi Melastik Ke Bintang, Pelesit Kota, Di Pintu Sepi, Bersalah Atau Tidak, Panggung Khayalan, Gothic Malam Edan, Metropolitan, Neo Romantik dan Kereta Merah yang membawa penonton hanyut dalam nostalgia kegemilangan era rock tempatan.

Pemilihan lagu yang sudah pasti ‘menghayalkan’ khalayak dalam dunia ciptaan Search sekaligus membuktikan Search terus ampuh untuk terus kekal relevan meskipun berlainan DNA.

Namun, sebaik lampu pentas kembali malap sebelum bertukar terang dalam semburan cahaya putih dan merah, suasana dewan berubah sepenuhnya.  Sorakan bertukar menjadi gegaran. Jeritan bertukar menjadi laungan.

Dan ketika kelibat Dato’ Awie muncul bersama Syam, Pae, Am dan Edrie Hashim, seluruh Mega Star Arena seolah-olah meledak. Di situlah bermulanya babak paling luar biasa malam itu.  Jika XPDC membuka pintu dan Search menghidangkan nostalgia, Wings pula hadir menyempurnakan perjalanan itu dengan satu persembahan yang benar-benar mengangkat standard Konsert 3 Veto ke dimensi berbeza.

Tanpa memberi ruang penonton menarik nafas, Wings terus menghentam pentas menerusi Dari Tuhan, disusuli Jerangkung Dalam Almari, Lubuk Pusing, Jumpa Hilang, Di Ambang Wati, Hutan Simpan, Opera Hidup dan Ingatkan Dia.  Wings menamatkan Lipas Kudung dengan seluruh adrenalin yang masih berbaki.

Apa yang paling mengagumkan bukan sekadar susunan lagu.  Sebaliknya, kekuatan sebenar persembahan Wings hadir menerusi gabungan produksi bertaraf tinggi.  Sistem audio yang cukup mantap menghasilkan bunyi yang padat tetapi bersih. Setiap petikan gitar, setiap dentuman dram dan setiap lenggok vokal Awie kedengaran jelas tanpa saling menenggelamkan.

Pada masa sama, tata cahaya bergerak mengikut rentak lagu, memancar dari setiap sudut pentas dengan kombinasi laser, lampu sorot dan visual LED yang menghasilkan panorama cukup dramatik.

Setiap lagu terasa seperti sebuah babak dalam pementasan teater rock berskala besar.  Aura Awie pula kekal luar biasa.  Beliau bukan sekadar menyampaikan lagu, sebaliknya menguasai pentas dengan karisma seorang penghibur yang memahami denyut nadi penonton.

Syam dan Edrie Hashim pula saling bertukar solo gitar yang tajam dan bertenaga, manakala Pae bersama Am menjadi enjin yang memastikan momentum persembahan terus memecut tanpa pernah kehilangan kuasa.

Kemuncak sebenar malam itu hadir apabila seluruh anggota XPDC, Search dan Wings kembali memenuhi pentas bagi mempersembahkan So Lonely, lagu ikonik kumpulan heavy metal Jepun, Loudness.

Lebih 20 pemuzik berkongsi satu pentas dalam sebuah persembahan yang cukup epik, disaksikan ribuan peminat yang menyanyi sambil mengangkat tangan mengikut rentak muzik.  Tatkala dentuman terakhir bergema dan pancaran cahaya perlahan-lahan dipadamkan, sorakan penonton masih belum mahu berhenti.

Konsert 3 Veto akhirnya melabuhkan tirai dengan penuh bergaya yang boleh diklasifikan dimana Search memukau, XPDC pula menghangatkan pentas.  Namun malam itu, Wings tampil sebagai ‘penyelamat’ yang menyempurnakan keseluruhan perjalanan konsert dengan sebuah persembahan penuh karisma, tenaga dan produksi bertaraf antarabangsa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page