September 22, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Westlife 25: The Anniversary World Tour:  Malam Kedua Buat Peminat Malaysia

Spread the love

Permintaan luar biasa peminat tempatan dorong kumpulan legenda itu tambah persembahan pada 13 Januari, sehari sebelum konsert pertama pada 14 Januari 2027

Susulan sambutan luar biasa terhadap persembahan pertama, kumpulan pop ikonik itu mengumumkan satu lagi malam persembahan di Kuala Lumpur menerusi Westlife 25: The Anniversary World Tour.

Tarikh tambahan pada 13 Januari 2027 di Unifi Arena, Kuala Lumpur itu akan berlangsung sehari sebelum persembahan yang sudah diumumkan pada 14 Januari 2027.

Justeru, peminat tempatan kini berpeluang menyaksikan Westlife beraksi selama dua malam berturut-turut, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pembuka tirai jelajah Asia Tenggara kumpulan berkenaan.

Dianjurkan Live Nation Malaysia dan PR Worldwide, penambahan tarikh kedua itu hadir selepas permintaan terhadap persembahan pertama terus melonjak, membuktikan hubungan istimewa Westlife dengan peminat Malaysia masih kukuh meskipun sudah 25 tahun mereka mewarnai persada muzik dunia.

Malah, pengumuman itu hadir selepas Westlife mencatat siri persembahan sold out di Eropah menerusi sambutan terhadap jelajah ulang tahun ke-25 mereka.

Bagi peminat Malaysia, dua malam pada 13 dan 14 Januari 2027 itu pastinya menjadi pesta nostalgia apabila Westlife membawakan koleksi lagu yang menemani kehidupan ramai sejak era 1990-an dan awal 2000-an.

Dengan empat anggota iaitu Shane, Nicky, Kian dan Mark, Westlife dijangka menghidangkan gabungan harmoni vokal, balada penuh emosi serta lagu pop rancak yang menjadi sebahagian daripada identiti mereka selama ini.

Antara karya popular yang terus dekat di hati peminat termasuk You Raise Me Up, Uptown Girl dan Flying Without Wings.

Lebih bermakna, jelajah berkenaan turut meraikan perjalanan luar biasa Westlife selama 25 tahun dalam industri muzik.

Sambutan ulang tahun itu hadir seiring pelancaran album 25 – The Ultimate Collection pada 8 Mei lalu yang menghimpunkan 23 lagu, termasuk material terbaharu Your Love Amazes Me dan Chariot, selain 21 lagu popular mereka.

Album itu turut menampilkan karya baharu yang dirakam bersama keempat-empat anggota Westlife.

Sepanjang perjalanan karier, Westlife sudah mengumpul lebih tiga bilion penstriman global, meraih 36 album nombor satu di seluruh dunia serta 14 single nombor satu di United Kingdom.

Mereka juga sudah menjual lebih 55 juta rekod, melepasi satu bilion tontonan YouTube dan menjual lebih enam juta tiket konsert di seluruh dunia.

Jelajah Wild Dreams pula mencatat jualan lebih 1.2 juta tiket, manakala sejak kembali bersatu pada 2019, Westlife sudah mengadakan lebih 200 persembahan di 30 negara.

Kini, Malaysia pula mendapat dua malam istimewa untuk meraikan 25 tahun perjalanan kumpulan yang lagu dan melodinya sudah menjadi runut bunyi kehidupan beberapa generasi.

Tiket untuk persembahan tambahan pada 13 Januari 2027 akan mula dijual pada 28 September 2026, jam 11 pagi menerusi golive-asia.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page