Wacana TRILOGI, Perspektif Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim
Tiga Vokal Padu Bersatu, Tiket Serendah RM99 Jadi Buruan Peminat
Gabungan tiga vokalis lelaki berpengaruh tanah air, Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim dijangka mencetus fenomena tersendiri menerusi konsert TRILOGI yang bakal berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra, Universiti Putra Malaysia.
Menghimpunkan tiga karakter vokal berbeza dalam satu pentas, TRILOGI bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya diangkat sebagai sebuah pengalaman muzik yang sarat emosi, tenaga dan penceritaan mendalam sesuatu yang jarang dipersembahkan dalam landskap muzik tempatan masa kini.
Lebih menarik, konsert ini dianjurkan sendiri oleh Aepul Roza Ventures Sdn Bhd, sekali gus membuktikan kesungguhan Aepul Roza untuk melangkah lebih jauh sebagai figura industri yang bukan sahaja berdiri di pentas sebagai penyanyi, malah berani mengemudi produksi berskala besar.
Ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di RUSA Music pada 6 Mei lalu, Aepul Roza menjelaskan bahawa idea TRILOGI lahir daripada keinginan untuk mengangkat kekuatan vokal sebagai nadi utama persembahan.

“Ini bukan sekadar konsert hiburan semata-mata. Kami mahu jadikan pentas ini sebagai ruang untuk bercerita tentang perjalanan, jatuh bangun dan pengalaman kami sebagai anak seni,” katanya.
Menurutnya lagi, TRILOGI merupakan sebuah projek yang sangat dekat di hati kerana ia mencerminkan sisi paling jujur dirinya sepanjang bergelar penyanyi.
“Setiap lagu yang dipersembahkan nanti ada kisahnya. Ia bukan sekadar nyanyian, tetapi perjalanan hidup yang saya lalui. Saya mahu penonton rasa apa yang saya rasa,” ujarnya.

Sementara itu, Aweera yang sinonim dengan vokal bertenaga tinggi mengakui TRILOGI menjadi platform terbaik untuknya keluar daripada zon selesa dan menampilkan sisi berbeza.
“Orang kenal saya dengan vokal tinggi dan persembahan ‘power’. Tapi kali ini, saya mahu penonton lihat sisi lain lebih emosi, lebih mendalam. Ini cabaran besar, tapi saya teruja,” katanya.
Bagi Fiq Halim pula, peluang berkongsi pentas bersama dua nama besar itu disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam karier seninya.

“Ini peluang yang sangat berharga untuk saya. Bukan sahaja dapat belajar daripada mereka, tetapi juga membuktikan bahawa saya mampu berdiri sebaris di pentas yang sama,” katanya penuh teruja.
Konsert TRILOGI dirangka dengan konsep unik yang membahagikan persembahan kepada tiga ‘bab’ berbeza setiap satu mewakili perjalanan dan identiti muzik setiap penyanyi sebelum disatukan dalam satu naratif besar yang lebih emosional dan dramatik.

Lebih menarik lebih 25 buah lagu bakal dipersembahan menerusi konsert yang berdurasi lebih dua jam setengah itu. Penonton bakal dihidangkan dengan lagu-lagu hit setiap artis, selain kolaborasi eksklusif yang dijangka menjadi momen paling dinanti-nantikan pada malam tersebut.
Tidak hanya bergantung kepada kekuatan vokal semata-mata, aspek produksi turut diberi perhatian serius. Aepul Roza memberi jaminan bahawa susunan muzik baharu, rekaan visual pentas serta sistem audio imersif akan menjadi antara elemen utama bagi memastikan pengalaman penonton berada pada tahap premium.
“Setiap detail kami jaga. Dari segi bunyi, visual, susunan muzik semuanya kami mahu beri pengalaman yang berbeza dan berkualiti tinggi,” jelasnya.
Dalam masa sama, faktor harga tiket yang bermula serendah RM99 (free standing) dan sekitar RM189 bagi tempat duduk bebas dilihat menjadi antara tarikan utama konsert ini.
Dengan harga yang dianggap ‘mesra poket’, ramai peminat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tiket lebih awal sejak ia mula dijual pada 30 April lalu menerusi platform www.trilogi.uberticket.asia
Sambutan awal yang diterima juga dikatakan sangat memberangsangkan, sekali gus memberi petunjuk bahawa TRILOGI berpotensi menjadi antara konsert paling ‘panas’ tahun ini.
Menariknya, TRILOGI bukan hanya berhenti sebagai sebuah persembahan pentas semata-mata. Ketiga-tiga artis ini turut merancang untuk melancarkan sebuah single baharu serta EP yang mengandungi lima lagu sebagai pelengkap kepada projek ini.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuhkan lagi identiti TRILOGI sebagai sebuah jenama muzik yang bukan sekadar hadir untuk satu malam, tetapi berpotensi berkembang lebih jauh.
Dengan gabungan tiga vokal hebat, konsep penceritaan yang kuat serta harga tiket yang mampu milik, TRILOGI dilihat berada di landasan tepat untuk mencipta impak besar dalam industri muzik tempatan.
