Ella Umum Konsert ‘Homecoming’ di Pulau Pinang, Tiket Serendah RM39
Penyanyi legenda Ella mengumumkan konsert istimewa Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang bakal berlangsung pada 25 Julai 2026 di Penang State Stadium, dengan harga tiket ditawarkan serendah RM39.
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di Odeon Kuala Lumpur hari ini, sekali gus meneruskan momentum kejayaan konsert terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menghimpunkan lebih 55,000 penonton.
Konsert di Pulau Pinang ini membawa konsep “homecoming” bersempena sambutan ulang tahun ke-60 Ella pada Julai tahun depan, selain menjadi simbol kepulangan beliau ke negeri kelahiran selepas hampir empat dekad berkecimpung dalam industri muzik.

Lebih signifikan, penganjuran ini mencatat sejarah tersendiri apabila Ella menjadi artis pertama mengadakan konsert solo di stadium berkenaan yang turut dikenali sebagai Stadium Batu Kawan.
Dari sudut penganjuran, antara elemen utama konsert ini ialah penawaran harga tiket mampu milik bermula RM39, bagi memastikan ia dapat diakses oleh pelbagai lapisan peminat.
Konsert ini turut membawa elemen tanggungjawab sosial menerusi kempen Peace. Love. Rindu, di mana setiap tiket yang terjual akan menyumbang RM2 kepada badan kebajikan terpilih, iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal berkata penganjuran konsert ini merupakan usaha untuk mendekatkan pengalaman muzik kepada peminat di wilayah utara.
Beliau menjelaskan, konsert tersebut bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya sebuah pengalaman yang menggabungkan muzik, emosi dan mesej kemasyarakatan.
Dalam pada itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin menyifatkan konsert ini sebagai detik bermakna dalam perjalanan seninya, khususnya kerana ia berlangsung di negeri kelahirannya bersempena ulang tahun ke-60 beliau.
Katanya, konsert ini bukan sahaja meraikan perjalanan seni, tetapi juga menjadi platform untuk terus menyampaikan nilai Peace. Love. Rindu kepada peminat.

Jualan tiket konsert akan dibuka dengan akses awal pada 8 Mei 2026 untuk pemegang tiket terdahulu, sebelum jualan umum bermula 11 Mei 2026 menerusi laman rasmi penganjur.
