ANSARA Catat Kejayaan Program Gen MARA, Himpun 3000 Ahli – Sasaran 30,000 Masih Jadi Cabaran
Program Sambutan 60 Tahun Mara Jadi Platform Satukan Ekosistem Alumni, Libatkan Generasi Muda Dan Buka Ruang Dialog Bersama Kepimpinan Negara
Program sambutan 60 tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui penganjuran Gen MARA mencatat kejayaan tersendiri apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta alumni di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sekali gus menjadi platform besar yang menyatukan ekosistem pendidikan, keusahawanan dan jaringan alumni negara.
Namun di sebalik kejayaan penganjuran itu, Persatuan Alumni Majlis Amanah Rakyat (ANSARA) mengakui masih jauh daripada sasaran besar keahlian, dengan potensi alumni dianggarkan melebihi 230,000 orang di seluruh negara dan luar negara, sedangkan ahli berdaftar ketika ini baharu sekitar 30,000 orang.
Presiden ANSARA Malaysia, Ts. Taufiq Hussein, berkata penganjuran Gen MARA merupakan mandat khas daripada MARA untuk mengumpulkan komuniti alumni dalam satu platform berskala besar, khususnya sempena sambutan ulang tahun ke-60 institusi berkenaan.

“Idea penganjuran ini tercetus hasil perbincangan bersama MARA yang pada awalnya mencadangkan pelbagai aktiviti berasingan. Namun akhirnya diberi mandat untuk satu hari himpunan besar yang lebih ‘grand’ dan kita namakan sebagai Gen MARA,” katanya ketika ditemui di WTCKL.
Menurut beliau, antara cabaran utama penganjuran ialah untuk menggerakkan kehadiran ahli pada hari bekerja, memandangkan sebahagian besar alumni berada dalam sektor profesional.
“Cabaran terbesar kami ialah mengumpulkan ahli pada hari bekerja. Tidak semua mempunyai fleksibiliti masa,” katanya.
Antara kelainan program kali ini ialah penglibatan aktif generasi muda, termasuk pelantikan Pengarah Program berusia 19 tahun yang masih menuntut di Universiti Malaya.

Pendekatan itu dilihat sebagai usaha ANSARA memberi ruang kepada pelapis baharu untuk terlibat dalam penganjuran program berskala nasional serta memperkukuh kepimpinan masa depan alumni.
Salah satu pengisian paling mendapat perhatian ialah sesi Gen MARA Unplugged bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berlangsung dalam format dialog terbuka hampir satu jam.
Sesi tersebut membuka ruang kepada peserta untuk mengemukakan pelbagai persoalan melibatkan pendidikan, pembangunan insan serta isu semasa secara terus kepada kepimpinan negara.
Menurut penganjur, sesi itu terpaksa dilanjutkan selepas TPM menunjukkan keterbukaan untuk terus mendengar pandangan peserta.
“Beliau sendiri meminta masa diteruskan kerana merasakan soalan yang diajukan datang daripada keikhlasan peserta,” katanya.

ANSARA menegaskan bahawa potensi sebenar jaringan alumni MARA masih belum digerakkan secara menyeluruh, meskipun mempunyai angka keahlian dan bekas pelajar yang sangat besar di dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih ramai alumni tampil bukan sahaja sebagai ahli berdaftar, tetapi turut menyumbang dalam bentuk tenaga, kepakaran dan sokongan kepada ekosistem MARA.
“Kekuatan sebenar ANSARA terletak pada jaringan alumninya. Jika digerakkan sepenuhnya, impaknya jauh lebih besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, ANSARA turut mengumumkan penubuhan Sukarelawan ANSARA, satu inisiatif baharu yang akan menjadi sayap gerakan komuniti alumni dalam pelbagai program kemasyarakatan, pendidikan dan bantuan bencana.
Penubuhan pasukan sukarelawan itu dilihat sebagai langkah memperluaskan peranan alumni MARA bukan sahaja dalam bidang profesional, tetapi juga dalam kerja-kerja kebajikan dan khidmat masyarakat.
Sukarelawan ANSARA akan digerakkan di seluruh negara dengan fokus kepada program pembangunan komuniti, pendidikan pelajar, serta inisiatif bantuan sosial yang melibatkan jaringan alumni.
ANSARA Malaysia turut memperkenalkan ‘RamSal’, burung hantu yang menjadi maskot rasmi persatuan buat julung kalinya sebagai simbol kebijaksanaan dan identiti alumni MARA.
Program Gen MARA dilihat sebagai langkah awal memperkukuh ekosistem alumni MARA dengan pendekatan lebih inklusif, segar serta memberi ruang besar kepada generasi muda sebagai peneraju masa depan.
