Nabila Huda Menang Besar Di Anugerah Seni Cameronian BOH Ke 21
Malam penuh prestij buat dunia seni persembahan tanah air menyaksikan nama Nabila Huda akhirnya diangkat sebagai pemenang apabila merangkul trofi sulung dalam arena teater pada Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 yang berlangsung pada 3 Mei lalu di Petaling Jaya Performing Arts Centre,
Pelakon versatil itu dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik menerusi watak Malam dalam pementasan Masmoona, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya yang kini semakin melebar ke pentas teater.
Mengakui kemenangan itu di luar jangkaan, Nabila berkata dia masih ‘hijau’ dalam dunia teater dan sentiasa kagum dengan kehebatan rakan seperjuangan.
“Sejujurnya saya memang tidak sangka. Saya masih baharu dalam dunia teater dan sangat menghormati mereka. Setiap kali bersama mereka, saya rasa kecil kerana kemampuan mereka menyanyi dan menari jauh lebih hebat,” katanya.
Selain Masmoona, Nabila turut membintangi Visits terbitan Dramalab arahan Ida Nerina, bergandingan dengan Sofia Jane dan Nadia Aqilah.
Dalam pada itu, dua karya berbeza pendekatan tetapi sama kuat impaknya, Fragments of Tuah oleh Five Arts Centre dan Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company, diumumkan sebagai Persembahan Terbaik 2025.

Fragments of Tuah tampil dengan konsep dokumentari beriringan muzik asli yang ‘membedah’ semula figura legenda Hang Tuah, manakala Setanggi Tari Melayu 2025 pula memartabatkan keindahan tari Melayu ke pentas bertaraf dunia.
Kedua-dua naskhah itu menewaskan finalis lain termasuk Animal Farm, A Salute to Cinema, TEWAS: No Light at the End of the Tunnel serta Visits.
Kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) dimenangi Ileana Matin menerusi School of Rock, The Musical, manakala Pelakon Utama Terbaik (Teater) menjadi milik Kingsley Judd menerusi watak Edward dalam Someone Who’ll Watch Over Me.
Sementara itu, tokoh seni Mohd Anis Md Nor menerima Anugerah Sepanjang Hayat sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam memperkasa seni zapin dan dunia seni persembahan tempatan.
Edisi kali ini mempertandingkan hampir 40 kategori dengan 81 penyertaan merangkumi teater, tarian, muzik dan teater muzikal, melibatkan 44 produksi yang dicalonkan.
Mengangkat tema “COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan”, penganjuran tahun ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan, malah menjadi platform penting dalam membentuk masa depan seni kreatif negara dengan penekanan terhadap kolaborasi, inovasi dan adaptasi dalam era teknologi yang kian berkembang pesat.
Kemenangan Nabila Huda jelas menjadi simbol bahawa keberanian mencuba sesuatu yang baharu mampu membuka lembaran kejayaan yang tidak dijangka.
