Vertical Horizon ‘Hidupkan’ Semula Jiwa 90-an
Kredit Foto: Hitman Solutions
Selepas 12 tahun, Vertical Horizon akhirnya kembali beraksi di Malaysia dan kemunculan mereka di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Mei lalu nyata tidak menghampakan peminat yang sekian lama menanti. Konsert itu bukan sekadar persembahan nostalgia biasa, tetapi sebuah perjalanan emosi yang membawa ribuan peminat kembali ke era kegemilangan muzik alternatif 90-an. Zaman di mana lagu-lagu mereka menjadi peneman ketika memandu malam, melepak bersama rakan dan menemani kisah cinta anak muda suatu ketika dahulu.
Seluruh arena Zepp KL mula dipenuhi peminat pelbagai lapisan usia meskipun persemban belum lagi bermula. Ada yang hadir dengan kemeja band lama, ada juga yang sanggup datang dari luar Kuala Lumpur semata-mata mahu menyaksikan sendiri kumpulan yang pernah mendominasi carta radio antarabangsa itu.
Apa yang pasti malam tersebut ibarat ‘bucket list’ yang akhirnya menjadi kenyataan selepas bertahun-tahun hanya mampu menikmati lagu-lagu Vertical Horizon menerusi CD, MP3 dan saluran YouTube.
Dibawakan oleh Hitman Solutions, konsert itu berjaya membuktikan bahawa muzik berkualiti tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Sebaik lampu dewan dipadamkan, sorakan penonton terus bergema sebelum kemunculan Matt Scannell selaku vokalis, John Wesley (gitaris), Ron LaVella (drum) dan Mark Pacificar selaku bassis. Penampilan mereka cukup bersahaja namun penuh karisma.

Tanpa banyak gimik berlebihan, mereka terus memulakan persembahan dengan tenaga yang membuatkan seluruh dewan seakan-akan terus ‘hidup’.
Apa yang paling mencuri perhatian ialah kekuatan sistem audio Zepp KL yang malam itu benar-benar berada pada tahap terbaik.
Setiap petikan gitar kedengaran tajam dan bersih, manakala dentuman dram pula cukup ‘solid’ tanpa menenggelamkan vokal utama. Keseimbangan bunyi yang kemas menjadikan setiap lagu terasa lebih dekat dan emosional.


Ramai peminat mengakui inilah antara aspek paling memuaskan sepanjang konsert berlangsung kerana setiap instrumen dapat didengar dengan jelas tanpa gangguan bunyi berlebihan.
Malah, ramai turut memuji vokal Matt yang masih kedengaran mantap seperti rakaman studio.Nada tinggi yang menjadi identiti suaranya masih kekal utuh, malah emosinya ketika menyampaikan lagu-lagu balada menyentuh hati penonton yang jelas tenggelam dalam nostalgia.
Tidak hairanlah apabila hampir keseluruhan dewan menyanyi bersama dari awal hingga akhir persembahan.
Setlist malam itu pula boleh dianggap hadiah paling istimewa buat peminat setia mereka. Kumpulan itu membuka persembahan dengan “You Say / YNLMD” sebelum meneruskan momentum menerusi “Send It Up”, “The Lucky One”, “Forever” dan “Finding Me”.

Atmosfera semakin hangat apabila lagu seperti “I’m Gonna Save You / Heart In Hand” dan “Save Me from Myself / Miracle” dimainkan dengan susunan muzik yang lebih segar tetapi masih mengekalkan identiti asalnya.
Momen paling emosional hadir ketika mereka mempersembahkan “Last Night of Our Lives” yang membuatkan ramai penonton mengangkat telefon bimbit sambil menyanyi perlahan mengikut melodi lagu.
Malah, ketika lagu “How Soon Is Now” dimainkan, Zepp KL bertukar menjadi lautan suara apabila penonton menyambut setiap bait lirik dengan penuh semangat.

Matt kemudian memperlahankan tempo persembahan menerusi segmen akustik yang cukup intim sebelum menyampaikan “I’m Still Here”. Namun, suasana benar-benar ‘meledak’ apabila lagu ikonik Best I Ever Had (Grey Sky Morning) dan You’re a God dimainkan.
Jeritan penonton bergema kuat sehingga ada yang sanggup berdiri meskipun mereka membeli tiket tempat duduk demi menikmati momen berkenaan.
Sudah tentu klimaks malam itu hadir apabila intro lagu Everything You Want mula dimainkan. Sebaik sahaja petikan gitar lagu berkenaan kedengaran, seluruh dewan terus bersorak seolah-olah terkena ‘ledakan’ nostalgia yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ribuan peminat menyanyi beramai-ramai tanpa henti, menjadikan suasana malam itu cukup magis dan meremangkan. Ada yang dilihat memeluk pasangan, ada yang menutup mata sambil menyanyi penuh penghayatan dan tidak kurang juga yang kelihatan sebak mengimbau kenangan lama.
Itulah kuasa muzik yang berjaya dibawa Vertical Horizon ringkas, jujur dan sangat dekat dengan kehidupan pendengar mereka.

Konsert diteruskan dengan “Hungry Like The Wolf” yang disampaikan dengan penuh energi sebelum kumpulan itu menutup malam penuh nostalgia berkenaan menerusi “Broken” dan “We Are”.
Sepanjang persembahan, Matt juga tidak lokek berinteraksi dengan peminat. Dia beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada penonton Malaysia yang disifatkannya cukup ‘loud’ dan memberikan tenaga luar biasa kepada kumpulan itu sepanjang malam.
Keakraban tersebut membuatkan konsert berkenaan terasa cukup intim walaupun berlangsung dalam suasana penuh gegak-gempita.

Boleh dikatakan, malam itu Zepp KL bukan sekadar venue konsert, tetapi menjadi tempat berkumpulnya memori dan emosi ribuan peminat yang membesar dengan muzik alternatif Barat era 90-an.
Dan apabila lampu dewan kembali menyala di penghujung persembahan, rata-rata penonton pulang dengan wajah puas, suara serak dan hati yang masih tertinggal di dalam setiap lagu yang dimainkan malam itu.
