Ernie Zakri Pertaruh Jiwa Dalam OST “Tak Berlagu”
Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri sekali lagi membuktikan keupayaannya menyampaikan emosi secara mendalam menerusi lagu tema rasmi (OST) filem seram dramatik Khadam berjudul Tak Berlagu.
Bukan sekadar sebuah lagu runut bunyi biasa, “Tak Berlagu” menjadi medan buat Ernie meluahkan sisi paling rapuh dalam dirinya apabila mengangkat kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anaknya.
Menariknya, penyanyi itu mengakui dia menerima tawaran menyanyikan lagu berkenaan kerana terlalu dekat dengan jalan cerita yang dibawakan.
“Saya terpanggil untuk menyanyikan lagu ini kerana kisahnya sangat dekat dengan jiwa saya sebagai seorang ibu. Bila saya tahu ia adalah kerjasama antara Rendra Zawawi dan NJWA, saya terus rasa yakin untuk terlibat,” katanya.
Menurut Ernie, pengalaman merakamkan lagu itu bukan sesuatu yang mudah kerana dia perlu benar-benar menyelami emosi watak Melor dalam filem terbabit.
“Sepanjang sesi rakaman, air mata saya memang tidak berhenti mengalir. Saya dapat rasakan kesedihan dan ketakutan seorang ibu itu dengan sangat kuat,” katanya.
Aura emosional yang dibawa Ernie dalam “Tak Berlagu” nyata menjadi kekuatan utama lagu terbabit. Lenggok vokalnya yang lembut tetapi sarat jiwa membuatkan setiap bait lirik terasa hidup, sekali gus memberi dimensi lebih mendalam kepada dunia Khadam.

Lagu ciptaan Rendra Zawawi bersama NJWA itu dibina secara perlahan daripada nada tenang sebelum berkembang menjadi lebih berat dan dramatik, seiring perkembangan emosi watak utama filem berkenaan.
Bagi Ernie, cabaran terbesar ketika menyampaikan lagu itu adalah memastikan setiap emosi dapat diterjemahkan secara jujur tanpa perlu berlebihan.
“Lagu ini banyak bermain dengan rasa sunyi, kehilangan dan doa seorang ibu. Jadi saya perlu kawal vokal supaya emosi itu sampai dengan tepat,” katanya.

Pemilihan Ernie sebagai penyanyi OST juga bukan dilakukan secara kebetulan. Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, penyanyi itu mempunyai kekuatan unik dalam menyampaikan rasa menerusi vokalnya.
“Lagu ini sangat bergantung kepada emosi dan kekuatan vokal. Itu memang kekuatan Ernie. Dia mampu menyampaikan kesakitan dan harapan dalam satu masa,” katanya.
Tambah menarik, “Tak Berlagu” dihasilkan dengan sentuhan bertaraf antarabangsa apabila proses adunan dilakukan oleh Alvin Wee yang kini menetap di Los Angeles, manakala proses mastering pula disempurnakan oleh Jett Galindo.
Lagu ini turut menggunakan rakaman orkestra akustik secara langsung membabitkan piano, violin, viola, cello dan double bass bagi menghasilkan pengalaman audio yang lebih sinematik dan menyentuh perasaan.
Dalam masa sama, kemunculan “Tak Berlagu” memperlihatkan satu lagi sisi matang Ernie sebagai penyanyi yang bukan sahaja mampu membawa lagu pop komersial, tetapi juga karya berat yang memerlukan penghayatan tinggi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Ernie terus mengukuhkan namanya sebagai antara vokalis wanita terbaik negara menerusi keupayaan teknikal serta penghayatan luar biasa dalam setiap persembahan.
Menerusi “Tak Berlagu”, penyanyi itu sekali lagi membuktikan bahawa kekuatan sebenar seorang penyanyi bukan hanya terletak pada teknik vokal, tetapi kemampuan membuat pendengar turut merasai kesedihan yang cuba disampaikan.
Tak Berlagu kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala filem Khadam bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.
