Tenxi & Naykilla Gegar Zepp KL Dengan “Panggung Puting Beliung”
Fenomena Hipdut Nusantara Bakal Hembus Ribut di Kuala Lumpur
Bersedia untuk malam penuh tenaga, gaya dan inovasi. Ikon hiburan serantau, Icon Entertainment, dengan bangganya mempersembahkan “Panggung Puting Beliung”, konsert debut sensasi Tenxi, trendsetter muzik hipdut yang kini menjadi fenomena Nusantara, bersama bintang muda penuh karisma, Naykilla.
Tenxi bukan nama kecil, artis ini kini mencatat lebih 11.2 juta pendengar bulanan di Spotify, dengan jumlah penstriman melebihi 338 juta kali setakat Ogos 2025! Tidak kurang hebat, Naykilla turut mencipta gelombang tersendiri dengan lebih 260 juta jumlah penstriman serta sekitar 390,000 pendengar aktif bulanan di Kuala Lumpur sahaja bukti betapa besar pengaruhnya dalam kalangan peminat tempatan.
“Panggung Puting Beliung” bukan sekadar konsert tetapi ia adalah pengalaman imersif yang bakal menggoncang jiwa peminat muzik urban. Terinspirasi daripada kejayaan album Puting Beliung, Tenxi membawa pentasnya ke dimensi baharu dengan gabungan muzik hipdut moden, elemen visual sinematik dan pencahayaan berkonsep futuristik.
Sejak kemunculan album tersebut, nama Tenxi meledak di platform TikTok, apabila lagu-lagunya menjadi antara yang paling banyak digunakan di seluruh Nusantara.

Tenxi meluahkan keterujaannya untuk bertemu peminat Malaysia buat pertama kali.
“Saya tahu vibe muzik di sini sangat kuat dan penuh energi. Kami mahu bawakan sesuatu yang bukan hanya sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang orang akan ingat lama selepas konsert berakhir,” katanya.
Sementara itu, Naykilla turut tidak sabar untuk beraksi di Zepp Kuala Lumpur.

“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati saya. Saya tidak sabar untuk berdiri di atas pentas dan merasakan sorakan peminat di sini. Percayalah, malam itu akan jadi sesuatu yang luar biasa,” katanya penuh semangat.
Menurut jurucakap Icon Entertainment, pemilihan Tenxi dan Naykilla bukan sekadar soal populariti, tetapi kerana kedua-duanya mewakili jiwa generasi baharu yang berani bereksperimen dan menolak sempadan muzik tempatan.

“Tenxi telah membuktikan bahawa muzik berjiwa Nusantara mampu menembusi pasaran global. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kepada gelombang baharu dalam industri muzik serantau,” ujar mereka.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia, pihak penganjur menetapkan harga tiket mampu milik, menjadikan “Panggung Puting Beliung” bukan sahaja konsert wajib tonton, tetapi juga perayaan komuniti muzik baharu Malaysia.
Tiket akan mula dijual pada Jumaat, 7 November 2025 melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my.

