“Saling Tak Terlihat” Pertemukan ‘Kembali’ Remy Ishak & Nora Danish
Bakal Menemui Penonton Pada 6 November 2025, Jam 9 Malam, Eksklusif Di Platform UTV.
Setelah sekian lama tidak bergandingan, dua nama besar industri lakonan tanah air, Remy Ishak dan Nora Danish, kembali bersatu dalam sebuah naskhah yang sarat dengan emosi dan visual memukau berjudul Saling Tak Terlihat, terbitan Usanita Entertainment Sdn. Bhd. menerusi jenama UTV, arahan pengarah prolifik Izuan Mokhtar.
Mengangkat tema cinta, kehilangan dan semangat untuk bangkit semula, telefilem ini bukan sekadar kisah romantik biasa tetapi ia adalah perjalanan rasa, yang memperlihatkan bahawa cinta sejati bukan dinilai dengan mata, tetapi dirasa melalui hati dan jiwa.
Berlatarbelakangkan keindahan Auckland, New Zealand, Saling Tak Terlihat tampil dengan sinematografi indah yang menenangkan jiwa, serta penceritaan halus yang membelai perasaan penonton.

Menurut Izuan Mokhtar, penggambaran dijalankan selama sembilan hari dimana dua di Malaysia dan tujuh di Auckland. Menariknya, lokasi asal sebenarnya dirancang di Morocco namun akhirnya ditukar ke New Zealand demi mencapai keseimbangan visual dan naratif.
“Saya mahu menghasilkan kisah cinta yang berbeza, yang menyatukan emosi manusia dan dunia kulinari. Saling Tak Terlihat ialah tentang cinta dan makanan, dua perkara yang berakar daripada ‘rasa’,” ujar Izuan sewaktu tayangan perdana di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada 4 November lalu.
Watak wanita buta yang dibawakan Nora menjadi lambang kepada mesej utama telefilem ini bahawa cinta sejati tidak memerlukan penglihatan, sebaliknya didirasai dengan hati yang tulus.
“Saya percaya golongan OKU memiliki kelebihan tersendiri. Dalam kisah ini, deria rasa menjadi penghubung antara dua jiwa,” tambahnya lagi.

Nora mengakui watak gadis buta yang dilakonkan memberi pengalaman baharu buatnya apabila ada penduduk tempatan cuba membantunya ketika penggambaran berlangsung tanpa menyedari itu hanyalah lakonan.
Bagi pelakon Alicia Amin, pengalaman di Auckland penuh cabaran apabila cuaca tidak menentu memaksa produksi menangguhkan penggambaran selama empat hari akibat hujan berterusan.
Izuan dalam masa sama mengakui beliau mahu menonjolkan sisi baharu Remy dan Nora bukan sekadar pasangan romantik di layar, tetapi dua jiwa yang berkomunikasi melalui ekspresi halus dan diam yang penuh makna.
“Kali ini, saya mahu mereka menzahirkan cinta tanpa banyak kata, hanya melalui mata dan jiwa. Ia lebih berat dan mendalam berbanding Poskad Cinta Dari Auckland,” jelasnya.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan, pula menegaskan telefilem ini adalah sebahagian daripada visi besar UTV untuk menampilkan karya tempatan bertaraf antarabangsa.
“Kami mahu menonjolkan kepelbagaian wajah dan bakat tempatan. Setiap naskhah kami membawa misi memperkukuh nilai produksi Malaysia agar mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa perubahan lokasi penggambaran dari Morocco ke New Zealand menjadi titik perubahan besar buat produksi.
“Semuanya berubah 360 darjah, tapi saya bersyukur pasukan ini tetap kuat dan bersatu hingga ke penghujung,” katanya.
Sinopsis: Cinta Yang Terasa Walau Tak Terlihat
Kisah bermula dengan Ghaz (Remy Ishak), seorang cef muda yang kehilangan ibunya — seorang cef terkenal yang menjadi jiwa kepada restoran keluarga. Kehilangan itu membuatkan Ghaz hilang semangat dan arah; masakannya tidak lagi punya “rasa”.
Dalam usaha mencari inspirasi baharu, Ghaz membawa diri ke Auckland, ditemani adik dan rakan sekerjanya (lakonan Fattah Amin dan Alicia Amin). Takdir menemukan beliau dengan Safera (Nora Danish) seorang gadis buta yang melihat dunia dengan hati. Pertemuan itu menjadi detik perubahan dalam hidup Ghaz, membuka ruang kepada cinta, pengharapan, dan penyembuhan.
Telefilem ini turut menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Ummie Aida, Aleza Shadan, dan Raja Azmi, dan bakal menemui penonton pada 6 November 2025, jam 9 malam, eksklusif di platform UTV.
Runut Bunyi: “Jadikan Aku Nadi Hidupmu”
Menambahkan lagi emosi, telefilem ini diiringi lagu tema indah berjudul Jadikan Aku Nadi Hidupmu, ciptaan penuh Ajai dan dinyanyikan oleh Lah Ahmad. Lagu ini menjadi nadi yang menghidupkan keseluruhan penceritaan.
