July 23, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Syamel Akhirnya Ada Cerita Untuk Album Pertama

Spread the love

Sedekad menunggu, PERTAMA lahir sebagai naskhah paling peribadi yang merakam jatuh bangun, kehilangan dan harapan baharu penyanyi itu.

Selepas sedekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi Syamel akhirnya melengkapkan satu lagi impian dalam kerjayanya apabila melancarkan album sulung berjudul PERTAMA, yang disifatkannya sebagai karya paling jujur pernah dihasilkan.

Bagi penyanyi berusia 32 tahun itu, album yang memuatkan enam lagu itu bukan sekadar penanda aras baharu dalam perjalanan seninya, sebaliknya menjadi cerminan segala pengalaman, emosi dan liku kehidupan yang ditempuhi sepanjang bergelar anak seni.

Album yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital itu menampilkan enam karya iaitu Beribu Tanda Tanya, Cukup Sekali, Aku Bukan Dia, Dalam Kenangan, Tunjukkan Ku Bahagia dan lagu judul PERTAMA.

Menurut Syamel, dia sengaja mengambil masa sebelum menghasilkan album pertama kerana mahu memastikan setiap lagu mempunyai cerita yang benar-benar dekat dengan dirinya.

“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya.

“Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” katanya.

Lebih istimewa, pembikinan album itu turut menemukan Syamel dengan barisan komposer dan penulis lagu berpengaruh seperti Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin.

Namun, penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Cinta bersama isterinya, Ernie Zakri itu tidak sekadar menyerahkan sepenuhnya proses kreatif kepada pihak lain.

Sebaliknya, dia turut terbabit sebagai penulis dan komposer untuk beberapa lagu termasuk Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia, bagi memastikan identiti muzik yang dibawanya kekal asli serta dekat dengan jiwa sendiri.

Penyanyi lagu Kau Pun Sama itu berkata, setiap lagu dalam album PERTAMA disusun seperti sebuah buku yang mempunyai enam bab, dengan setiap karya membawa emosi dan cerita berbeza sebelum melengkapkan keseluruhan perjalanan apabila didengar mengikut susunan asal.

“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” katanya.

Menurut Syamel, walaupun sebahagian besar karya dalam album itu diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya, terdapat juga kisah individu di sekeliling yang diserapkan bagi memberi ruang kepada pendengar mentafsir setiap lagu mengikut pengalaman masing-masing.

Baginya, muzik yang baik bukan hanya sedap didengar, tetapi mampu menjadi peneman ketika seseorang berdepan saat paling sukar dalam kehidupan.

“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.

Dengan pelancaran PERTAMA, Syamel bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri muzik, malah membuka lembaran baharu dalam kariernya menerusi sebuah karya yang lahir daripada pengalaman, kejujuran dan kematangan sebagai seorang penyanyi serta pencipta lagu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page