July 23, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Rise & Revive 2.0 Kembali Lebih Bertenaga

Spread the love

Atilia Haron, MimiFly, Icon Hanis dan Eleza Zaaba berganding bahu satukan kecergasan, muzik serta kelestarian dalam acara gaya hidup sihat di KLCC, September ini.

Selepas mencipta fenomena menerusi penganjuran sulung pada Januari lalu, program gaya hidup sihat Rise & Revive kembali dengan nafas lebih segar apabila tampil dengan konsep lebih menyeluruh menerusi Rise & Revive 2.0, yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 13 September depan.

Jika edisi pertama berjaya menarik perhatian pencinta kecergasan, kali ini penganjur meletakkan sasaran lebih tinggi apabila menggabungkan elemen kecergasan, muzik, kesedaran minda serta kelestarian alam sekitar dalam satu acara yang meraikan gaya hidup sihat secara holistik.

Lebih menarik, Rise & Revive 2.0 dipilih sebagai antara acara utama sempena KLCC Sustainable September, sekali gus membawa mesej bahawa kesejahteraan bukan sekadar menjaga kesihatan tubuh, malah merangkumi hubungan dengan komuniti dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Menghangatkan lagi acara ialah penampilan empat figura popular yang tidak asing dalam dunia kecergasan dan hiburan tempatan iaitu Atilia Haron, MimiFly, Icon Hanis serta wajah baharu, Eleza Zaaba, yang juga Piloxing Elite Star dan jurulatih Pilates.

Atilia bakal membuka tirai acara menerusi sesi yoga istimewa yang menggabungkan muzik, pergerakan dan amalan kesedaran minda, sekali gus memberi peluang kepada peserta memulakan pagi dalam suasana tenang sebelum menyertai pelbagai aktiviti lain.

Momentum kemudiannya diteruskan bersama Icon Hanis menerusi sesi Pound with Hanis, senaman berintensiti tinggi berinspirasikan ritma permainan dram yang terkenal kerana mampu membakar kalori, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kecergasan fizikal.

Tidak cukup dengan itu, peserta turut berpeluang mencabar diri menerusi sesi Piloxing kendalian Eleza Zaaba yang menggabungkan teknik Pilates dan tinju dalam satu latihan dinamik untuk membentuk tubuh serta meningkatkan stamina.

Sebagai penutup, penyanyi dan penulis lagu MimiFly akan menghidupkan suasana menerusi sesi Flyjam, senaman tarian penuh bertenaga yang menampilkan lagu-lagu popular era 90-an sehingga kini, menjadikan penghujung acara lebih meriah dan mengujakan.

Selain aktiviti utama, Rise & Revive 2.0 turut menyediakan bazar gaya hidup yang menghimpunkan kira-kira 20 jenama kesejahteraan, penjagaan diri dan produk lestari tempatan.

Ruang itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mendapatkan pelbagai produk berkaitan gaya hidup sihat, malah menjadi platform kepada usahawan tempatan memperkenalkan jenama mereka kepada komuniti yang semakin mengutamakan kesejahteraan.

Rise & Revive 2.0 akan berlangsung pada Ahad, 13 September, bermula jam 7 pagi hingga 1 tengah hari. Tiket dijual pada harga RM99 seorang yang turut merangkumi sarapan pagi serta Rise & Revive Kit.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page