September 13, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

SmartWills Wasiatku Mudahkan Urusan Wasiat, Hibah Dan Faraid

Spread the love

Platform Digital Baharu Himpunkan Perancangan Harta Pusaka

Persoalan mengenai siapa yang bakal menerima harta selepas seseorang meninggal dunia mungkin bukan topik yang selesa dibincangkan, namun perancangan awal mampu mengelakkan waris berdepan pelbagai kerumitan pada kemudian hari.

Menyedari kepentingan itu, SmartWills Berhad tampil dengan SmartWills Wasiatku, platform digital perancangan harta pusaka Islam yang diperkenalkan bagi menjadikan urusan berkaitan Wasiat, Hibah dan Faraid lebih mudah, praktikal serta difahami masyarakat Malaysia.

Platform yang dibangunkan menerusi anak syarikatnya, Wasiatku Fintech Sdn Bhd itu menghimpunkan tiga komponen utama berkenaan dalam satu ekosistem perancangan harta pusaka yang lebih bersepadu.

Lebih signifikan, pelancaran SmartWills Wasiatku turut menyaksikan termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Palladium Trustee Berhad bagi memperkukuh ekosistem perancangan dan pentadbiran harta pusaka Islam di Malaysia.

Majlis menandatangani MOU berkenaan berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor pada 12  September lalu.

Menerusi kerjasama strategik itu, Palladium Trustee Berhad dilantik sebagai syarikat pemegang amanah tunggal bagi SmartWills Wasiatku, sekali gus memainkan peranan dalam pengurusan dan perlindungan harta pusaka pelanggan Muslim di Malaysia.

Antara tanggungjawabnya termasuk bertindak sebagai Wasi atau Pentadbir Harta Pusaka, Pemegang Amanah serta Penjaga Aset, tertakluk kepada terma dan skop perkhidmatan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Pengarah Strategik SmartWills Wasiatku, Norazmi Samsuri, berkata kerjasama berkenaan memberi nilai tambah kerana pengguna bukan sahaja mendapat kemudahan teknologi, malah turut disokong kepakaran profesional.

“Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada pengguna. Ia bukan sekadar menyediakan kemudahan teknologi, malah turut disokong kepakaran profesional dalam pelaksanaan wasiat, amanah, pentadbiran harta pusaka serta penyimpanan dokumen,” katanya.

SmartWills Wasiatku menawarkan tiga penyelesaian utama bagi membantu masyarakat membuat perancangan mengikut keperluan masing-masing.

Menerusi Wasiatku Plan, pengguna boleh memilih Wasiatku Asas yang menyusun pembahagian harta pusaka mengikut prinsip Faraid, manakala Wasiatku Lanjutan membolehkan sehingga satu pertiga (1/3) harta pusaka diperuntukkan kepada penerima bukan waris Faraid yang layak, tertakluk kepada prinsip dan keperluan Syariah.

Bagi bukan warganegara Malaysia yang mempunyai aset di negara ini, Wasiatku PLUS Series pula menyediakan pilihan perancangan tambahan khusus untuk aset berkenaan.

Sementara itu, SmartHibah Plan merangkumi SmartHibah Direct untuk satu aset tertentu dan SmartHibah Care untuk sehingga tiga aset, membolehkan pengguna memilih penyelesaian berdasarkan profil aset serta keperluan masing-masing.

Bagi urusan Faraid, SmartFaraid pula menyediakan kemudahan dalam talian untuk waris memulakan permohonan Faraid di Mahkamah Syariah berkaitan, dengan bantuan profesional turut disediakan menerusi panel peguam Syariah SmartWills Wasiatku.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Palladium Trustee Berhad, Julia Mustaffa, berkata kerjasama itu menggabungkan kepakaran dalam peramanahan dan pentadbiran harta pusaka dengan kemudahan teknologi digital.

“Melalui kerjasama dengan SmartWills Wasiatku ini, kami dapat menggabungkan pengalaman dan kepakaran Palladium Trustee Berhad dalam peramanahan Islam serta pentadbiran harta pusaka dengan kemudahan teknologi digital, sekali gus menjadikan perancangan harta pusaka Islam lebih mudah diakses oleh masyarakat,” katanya.

Tidak terhenti pada kerjasama dengan syarikat pemegang amanah, SmartWills Wasiatku turut memeterai kerjasama dengan Penasihat Undang-Undang serta Panel Peguam Syariah yang mewakili setiap negeri di Malaysia.

Rangkaian itu dilihat mampu menyediakan sokongan profesional yang lebih menyeluruh dalam ekosistem berkenaan, daripada proses perancangan dan dokumentasi ketika pelanggan masih hidup sehinggalah urusan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka selepas kematian.

Pendekatan bersepadu itu juga diharap dapat mengubah persepsi masyarakat yang cenderung menangguhkan perancangan harta pusaka sehingga sudah terlambat.

Dengan perancangan lebih awal, hasrat pemilik harta dapat didokumentasikan dan urusan waris pada masa depan boleh dilaksanakan dengan lebih tersusun serta sistematik.

Dalam usaha memperluaskan akses kepada masyarakat, SmartWills Wasiatku turut mengalu-alukan kerjasama daripada ejen Takaful dan perancang kewangan Syariah untuk bersama-sama memperkenalkan penyelesaian Wasiat, Hibah dan Faraid kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Gabungan teknologi digital, kepakaran perundangan Syariah, perancangan harta pusaka profesional serta perkhidmatan pemegang amanah itu diharap dapat membentuk satu ekosistem yang bukan sahaja lebih mudah dicapai, tetapi turut membantu masyarakat mengambil langkah lebih awal dalam mengurus harta untuk masa depan keluarga.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page