September 12, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Azeva ‘Tanpa Rasa Jemu’, Cinta Mama Jadi Bekal Debut

Spread the love

Single sulung ciptaan Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi itu turut menjadi OST filem Bisikan Nafsu

PENYANYI baharu, Azeva membuka langkah pertama dalam industri muzik tanah air dengan mempertaruhkan single sulung berjudul Tanpa Rasa Jemu, karya yang mengangkat tema kasih sayang dan kesetiaan tanpa syarat.

Lebih istimewa, lirik lagu berkenaan dihasilkan ibunya sendiri, Datuk A. Aida, manakala komposisi pula datang daripada barisan komposer berpengalaman, Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi.

Bagi Azeva, Tanpa Rasa Jemu bukan sekadar karya pertama yang diperkenalkan kepada khalayak, sebaliknya menjadi permulaan perjalanan seni yang cukup bermakna buat dirinya.

Menurutnya, daripada beberapa pilihan lagu yang diterima, Tanpa Rasa Jemu berjaya mencuri hatinya sejak kali pertama mendengarnya.

“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini.

“Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas. Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman,” katanya.

Azeva mengakui pengalaman menghasilkan lagu berkenaan turut menjadi medan pembelajaran buatnya, apatah lagi dia belum mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional ketika memulakan proses rakaman.

Katanya, bimbingan yang diterima banyak membantu meningkatkan pemahaman terhadap teknik vokal, sebutan serta kawalan suara.

“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa.

“Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung, sekali gus membuktikan bahawa setiap proses pembelajaran telah membentuk diri saya sebagai seorang penyanyi yang lebih matang,” katanya.

Mengulas mesej di sebalik lagu itu, Azeva berkata Tanpa Rasa Jemu berkisar mengenai kasih sayang yang tetap utuh biarpun berdepan pelbagai dugaan.

Lebih menarik, lagu berkenaan dipilih sebagai runut bunyi (OST) filem Bisikan Nafsu, yang mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya meskipun diuji dengan cabaran berat.

Bagi Azeva, mesej yang dibawa lagu itu tidak terhad kepada hubungan percintaan semata-mata, malah boleh diterjemahkan dalam konteks kasih sayang keluarga yang sentiasa menerima, menyokong dan berada di sisi tanpa mengenal penat atau jemu.

Seiring dengan kemunculan sulungnya, Azeva berharap Tanpa Rasa Jemu mampu mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi karya yang terus dikenang.

Malah, perjalanan muziknya tidak terhenti di situ apabila dua lagi projek rakaman sedang dirancang, termasuk versi baharu lagu Sejiwa yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya serta sebuah lagu tema (OST) untuk projek animasi.

“Harapan saya semoga semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu, tanpa rasa jemu juga. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati. Ini hanyalah permulaan perjalanan saya dalam dunia muzik, dan saya berharap dapat terus berkongsi lebih banyak karya selepas ini,” katanya.

Single sulung Azeva, Tanpa Rasa Jemu diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan A. Aida Production.

Lagu berkenaan boleh distrim di semua platform penstriman muzik, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page