July 14, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Rockestra 5.0 Satukan Legenda, Orkestra dan Generasi Baharu

Spread the love

Muzza, Pasha, Pat Candy, Lan Solo, Cdnaz, King Shah (Metalasia) Dan Ca-Ah Bergandingan Bersama Lebih 60 Pemuzik Orkestra Kuala Lumpur Dalam Konsert Percuma Yang Menjadi Kemuncak Festival Rock DBKL 18 Julai Ini

Muzik rock tempatan bakal dipersembahkan dalam dimensi berbeza apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi menganjurkan Rockestra 5.0, sebuah konsert yang menyatukan kehebatan vokalis rock dengan kemegahan muzik simfoni dalam satu persembahan istimewa.

Berlangsung pada 18 Julai ini di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Rockestra 5.0 menjadi acara kemuncak Festival Rock dan antara pengisian utama program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026 yang bertujuan menghidupkan semula lokasi ikonik itu sebagai pentas seni terbuka bertaraf bandar raya.

Bermula jam 8.30 malam, lebih 60 pemuzik Orkestra Kuala Lumpur akan bergandingan dengan tujuh penyanyi rock terkenal iaitu Muzza, Pasha, Pat Candy, Lan Solo, CDNaz, King Shah (Metalasia) dan Ca-ah bagi mempersembahkan karya-karya malar segar dalam susunan muzik orkestra yang lebih epik, dramatik dan penuh emosi tanpa menghilangkan identiti asal muzik rock tempatan.

Gabungan dua elemen berbeza itu dijangka menghasilkan pengalaman muzik yang lebih segar, sekali gus memberi peluang kepada peminat daripada pelbagai lapisan usia menikmati lagu-lagu rock tanah air dalam interpretasi baharu.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu turut dihoskan oleh Isma Halil Hamzah, yang akan mengemudi perjalanan persembahan sepanjang malam.

Rockestra 5.0 bukan sekadar sebuah konsert, malah menjadi simbol penyatuan generasi dalam menghargai legasi muzik rock Malaysia. Dengan gabungan artis yang pernah mewarnai era kegemilangan rock bersama sentuhan muzik orkestra moden, penganjuran itu dijangka memberi pengalaman berbeza kepada penonton.

Mengiringi konsert berkenaan ialah Festival Rock yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai, menawarkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan artis dan kumpulan rock, forum, sesi bual bicara, pameran komuniti, jualan cenderamata serta aktiviti interaktif yang mengangkat sejarah dan evolusi muzik rock negara.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan sendiri sesi latihan bunyi (soundcheck) Rockestra 5.0, sekali gus memberi peluang melihat persiapan di sebalik penganjuran konsert berskala besar selain mendekatkan peminat dengan artis, pemuzik dan komuniti rock tempatan.

Pemilihan Panggung Anniversari sebagai lokasi penganjuran turut mengangkat semula nilai sejarah pentas terbuka itu yang pernah menjadi saksi kepada pelbagai persembahan artis legenda tanah air sejak beberapa dekad lalu.

Melalui Rockestra 5.0 dan Festival Rock, DBKL meneruskan komitmennya dalam memperkasakan pembangunan seni, budaya dan industri kreatif sambil menghidupkan kembali ruang seni awam sebagai lokasi yang aktif, inklusif dan dekat dengan masyarakat.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Rockestra 5.0 dan Festival Rock di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana. Kemasukan adalah percuma.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page