Westlife Kembali, Nostalgia 25 Tahun Bakal Gegar Kuala Lumpur

Unifi Arena Jadi Pentas Pembuka Jelajah Asia Tenggara Pada 14 Januari 2027, Peminat Bakal Dihidangkan Rangkaian Lagu Malar Segar Dan Karya Baharu Daripada Album 25 – The Ultimate Collection
Selepas beberapa kali mencipta kenangan manis bersama peminat Malaysia sepanjang lebih dua dekad, kumpulan pop tersohor dari Ireland, Westlife, sekali lagi memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi penting dalam jelajah dunia mereka.
Kali ini, Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily bakal kembali menerusi Westlife 25: The Anniversary World Tour, yang dijadual berlangsung di Unifi Arena pada 14 Januari 2027.

Lebih membanggakan, Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pertama jelajah Asia Tenggara, sebelum kumpulan yang sudah mencatat pelbagai rekod dunia itu meneruskan konsert di Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Hong Kong sepanjang Januari tahun depan.
Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembuka jelajah membuktikan pasaran tempatan terus menjadi antara yang paling signifikan buat Westlife, apatah lagi setiap kemunculan mereka di negara ini sentiasa menerima sambutan luar biasa.
Sejak kali pertama mengadakan konsert di Malaysia pada 2001, Westlife sudah beberapa kali kembali menghiburkan peminat termasuk menerusi jelajah pada 2006, 2012, The Twenty Tour pada 2019 dan konsert The Wild Dreams Tour pada 2023 yang menyaksikan ribuan peminat memenuhi Axiata Arena.
Kini, sempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan itu, Westlife menjanjikan sebuah persembahan yang lebih besar dengan gabungan lagu-lagu ikonik yang membentuk legasi mereka selama suku abad.
Antara lagu yang dijangka menjadi taruhan ialah Flying Without Wings, Swear It Again, If I Let You Go, Fool Again, World of Our Own, My Love, Queen of My Heart, Uptown Girl dan You Raise Me Up, selain beberapa lagu baharu daripada album terbaharu mereka.
Jelajah ini turut menjadi pentas memperkenalkan album 25 – The Ultimate Collection, sebuah kompilasi istimewa yang menghimpunkan 21 lagu paling popular sepanjang karier mereka bersama beberapa karya baharu.
Antara lagu terbaharu ialah Your Love Amazes Me, balada menyentuh hati yang diterbitkan Jamie Scott, Daniel Bryer dan Martin Hannah, selain Chariot, ciptaan Ed Sheeran, Johnny McDaid dan Will Reynolds bersama penerbit terkenal Steve Mac.
Album berkenaan menjadi simbol perjalanan luar biasa Westlife yang bukan sahaja berjaya menjual lebih 55 juta rekod di seluruh dunia, malah meraih 14 single nombor satu di United Kingdom, selain mencipta rekod sebagai antara kumpulan pop paling berjaya dalam sejarah muzik moden.
Berkongsi keterujaan meraikan ulang tahun ke-25, Westlife menyifatkan perjalanan yang dilalui bersama peminat selama ini sebagai sesuatu yang amat bermakna.
“Tahun ini genap 25 tahun sejak kami memulakan perjalanan luar biasa ini dan ia masih terasa seperti baru bermula. Sokongan daripada peminat begitu menakjubkan. Dapat meraikannya menerusi jelajah dunia, muzik baharu dan album baharu benar-benar sesuatu yang sangat istimewa. Kami tidak sabar untuk bertemu anda semua dan berkongsi detik ini bersama,” kata mereka.
Sementara itu, peminat tempatan yang ingin mendapatkan tiket lebih awal boleh menikmati beberapa fasa jualan yang disediakan.

Prajualan eksklusif untuk pemegang kad Mastercard akan berlangsung pada 20 Julai, diikuti prajualan khas ahli Live Nation Malaysia pada 21 Julai, sebelum jualan umum dibuka pada 22 Julai bermula jam 11 pagi menerusi platform GoLive Asia.
Dengan rekod setiap konsert mereka di Malaysia sentiasa mendapat sambutan hangat, konsert Westlife 25: The Anniversary World Tour dijangka menjadi antara persembahan antarabangsa paling dinantikan pada awal 2027.
Bagi ribuan peminat yang membesar bersama lagu-lagu Westlife sejak penghujung 1990-an, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan, sebaliknya sebuah perjalanan mengimbau memori, cinta dan nostalgia yang telah mengiringi kehidupan mereka selama 25 tahun.
