Rizky Febian kembali temui peminat Malaysia November ini

Penyanyi dan pencipta lagu popular Indonesia, Rizky Febian, bakal kembali menemui peminat di Malaysia menerusi konsert ‘Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur’ di Zepp KL pada 29 November ini.
Konsert yang dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan oleh AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia itu bakal menjadi satu lagi pertemuan Rizky dengan peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan muziknya.
Menerusi ‘Malam Rawan’, Rizky dijangka membawakan karya-karya popularnya selain menghadirkan persembahan yang menampilkan sisi muzik dan emosinya, khususnya menerusi lagu-lagu berkaitan cinta, kerinduan serta perjalanan perasaan.

“Saya sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya dan saya tahu ramai yang sudah menantikan untuk bernyanyi bersama-sama.
“Kali ini, saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kenangan yang istimewa buat semua yang hadir,” katanya.
Rizky mula mencipta nama menerusi lagu seperti ‘Kesempurnaan Cinta’, ‘Penantian Berharga’, ‘Cuek’, ‘Makna Cinta’, ‘Terlukis Indah’ dan ‘Hingga Tua Bersama’.
Karya-karya yang banyak mengangkat kisah cinta dan kehidupan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi popular Indonesia yang mempunyai pengikut di rantau ini, termasuk Malaysia.

Hubungan Rizky dengan peminat Malaysia juga bukan sesuatu yang baharu apabila beliau sebelum ini beberapa kali tampil di Kuala Lumpur.
Menerusi konsert kali ini, peminat berpeluang menikmati karya-karyanya secara langsung dalam sebuah persembahan yang turut menjadi ruang untuk Rizky berkongsi emosi, cerita dan pengalaman menerusi lagu-lagu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya seninya.
Tiket untuk ‘Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur’ mula dijual secara dalam talian hari ini, dengan harga RM228 bagi CAT 1 (Standing), RM248 bagi CAT 2 (Premium Seat) dan RM238 bagi CAT 3 (Normal Seat).
Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Rifelous Malaysia sebagai Rakan Rasmi, Gempak sebagai Rakan Media Rasmi dan Zepp KL sebagai Rakan Venue Rasmi.
