‘Tersakiti’ Emma Suhaimi tembusi Top 10 carta ERA 40

Single ‘comeback’ bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Emma Suhaimi, ‘Tersakiti’ mendapat sambutan menggalakkan selepas sebulan dilancarkan pada 14 Ogos lalu.
Sehari selepas dilancarkan, lagu berkenaan berjaya menembusi kelompok 30 terbaik carta ERA 40 sebelum melonjak ke tangga kesembilan dalam carta berkenaan minggu ini.
Muzik video rasmi ‘Tersakiti’ turut mencatat lebih 200,000 tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan selepas dimuat naik menerusi saluran Nova Music Videos.
Dicipta sepenuhnya oleh komposer dari Indonesia, Ilham Baso, ‘Tersakiti’ merupakan lagu balada yang mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.
Emma berkata lagu berkenaan bukan sekadar berkisar mengenai perpisahan, sebaliknya turut membawa mesej mengenai kepentingan mencintai diri sendiri dan keberanian untuk meninggalkan hubungan toksik.

“Mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan hubungan itu sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’.
“Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.
Menurut Emma, jalan cerita ‘Tersakiti’ dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini kerana terdapat individu yang memilih untuk memendam perasaan dan terus bertahan walaupun menyedari hubungan yang dilalui tidak lagi memberikan kebahagiaan.
Mengulas pemilihan Ilham sebagai komposer, Emma berkata reputasinya bukan faktor utama, sebaliknya cara beliau bekerja menjadi antara sebab yang mewujudkan keserasian sepanjang proses pembikinan lagu.
“Ilham seorang komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi memberi ruang kepada penyanyi untuk turut berkarya ketika proses rakaman.

“Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan untuk saya menyampaikan emosi mengikut cara saya sendiri. Bagi saya, kepercayaan seperti itu sangat penting untuk menghasilkan rakaman yang lebih jujur,” katanya.
Emma berkata cabaran terbesar ketika merakamkan ‘Tersakiti’ bukan dari segi teknikal vokal, tetapi memastikan emosi lagu itu benar-benar dapat disampaikan kepada pendengar.
“Lagu ini memerlukan saya menyampaikan emosi mereka yang pernah ‘Tersakiti’. Saya bimbang jika emosi itu tidak dapat disampaikan dengan baik kerana bagi saya, lagu seperti ini bukan sekadar perlu dinyanyikan, tetapi perlu dirasai,” katanya.
Pengalaman hidup yang dilaluinya sendiri, katanya, sedikit sebanyak membantu proses penghayatan lagu berkenaan.
“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini.
“Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan. Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” ujarnya.
Antara bait lirik yang paling dekat dengan hatinya ialah ‘Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam’, yang menurut Emma membawa makna besar mengenai hakikat kehidupan.

“Lirik itu sangat dekat dengan saya. Ia mengingatkan bahawa tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita.
“Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam,” katanya.
Emma turut berharap ‘Tersakiti’ dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui episod sukar dalam kehidupan, khususnya individu yang memilih untuk menyimpan luka sendirian.
“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap ‘Tersakiti’ boleh menjadi suara kepada mereka.
“Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.
Dalam pada itu, Emma menyifatkan proses pembikinan ‘Tersakiti’ berjalan lancar hasil kerjasama erat bersama Ilham.
“Sepanjang bekerjasama dengan Ilham, semuanya mudah untuk diatur dan dibincangkan. Dari awal sehingga lagu ini siap sepenuhnya, setiap proses berjalan dengan baik dan profesional. Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengannya,” katanya.
‘Tersakiti’ terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.
