September 18, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Kris Dayanti, Pamungkas, Hindia ‘Serang’ KL

Spread the love

Tiga nama besar Indonesia antara 19 artis bakal gegar Ultra Kalcer Malaysia 2026 di KL Festival Park, November ini

Kalau mahu menyaksikan satu pentas yang menghimpunkan diva legenda, bintang popular dan kuasa muzik alternatif dari dua negara, Ultra Kalcer Malaysia 2026 menjanjikan sajian yang bukan calang-calang.

Lebih menarik, festival muzik berskala besar itu bakal menyatukan 19 artis Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas di KL Festival Park, Kuala Lumpur, selama dua hari pada 7 dan 8 November ini.

Antara nama yang dijangka menjadi perhatian sudah tentu Kris Dayanti, Pamungkas dan Hindia yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam industri muzik Indonesia.

Tidak kurang menarik, barisan lain dari negara jiran turut menampilkan Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights.

Tuan rumah juga tidak ketinggalan apabila pentas Ultra Kalcer Malaysia 2026 turut menampilkan Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.

Jurucakap Neptunes Presents, Nabila Huda Suhaimi, berkata pihaknya bangga dapat membawa festival yang menemukan bakat dan peminat muzik Malaysia serta Indonesia dalam satu acara.

Menurutnya, proses pemilihan artis dibuat dengan teliti bagi memastikan festival berkenaan mempunyai barisan persembahan yang mampu memberikan pengalaman istimewa kepada pengunjung.

“Pasukan kreatif produksi juga bertungkus-lumus mendapatkan barisan penyanyi yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia untuk menjayakan festival ini.

“Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat kedua-dua negara.

“Setiap penyanyi juga sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung pada festival nanti. Bagaimanapun, senarai lagu yang disampaikan barisan penyanyi masih dirahsiakan sehingga hari persembahan,” katanya.

Nabila yang juga anak kepada rockers terkenal, Datuk Amy Search, berkata demikian pada sidang media Ultra Kalcer Malaysia 2026 di The Volume, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar; Ketua Pegawai Operasi Neptunes, Fizzany Adnan dan Pengarah Projek, Shamil Yusof.

Mengulas pemilihan lokasi, Nabila berkata KL Festival Park dipilih kerana kedudukannya yang strategik selain mampu menampung jumlah pengunjung yang besar.

“Hasil perbincangan, pihak kami memilih KL Festival Park kerana ia lokasi yang strategik untuk penganjuran festival besar ini.  Pada masa sama, lokasi ini juga dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana mampu memuatkan kapasiti lebih 20,000 penonton dalam satu masa.

“Jualan tiket dengan harga mampu milik untuk semua bagi menyaksikan festival ini sudah mula dijual sejak 4 September lalu dan boleh didapati menerusi laman web www.bbo.events.com,” katanya.

Ultra Kalcer Malaysia 2026 juga meneruskan kesinambungan usaha Neptunes Presents dalam menganjurkan festival yang menghubungkan peminat muzik Malaysia dan Indonesia.

Sebelum ini, Neptunes Presents pernah bekerjasama dengan rakan kongsi lain menerusi Festival Muzik Nyalafest di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 November 2024.

Nyalafest ketika itu menampilkan lapan artis dari dua negara termasuk Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes dan Bilal Indrajaya dari Indonesia, selain Noh Salleh X Restoe Iboe serta Fugo dari Malaysia.

Kini, hampir dua tahun kemudian, Ultra Kalcer Malaysia 2026 tampil dengan skala lebih besar apabila 19 nama dari dua negara bakal berkongsi pentas.

Dengan barisan artis yang merentasi pelbagai warna muzik, festival itu dijangka menjadi antara acara muzik yang bakal menghimpunkan peminat Malaysia dan Indonesia dalam satu lokasi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page