August 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Puteri Gunung Ledang The Musical Catat Fenomena, Semua Tiket Habis Dalam Dua Jam

Spread the love

Dua dekad selepas pertama kali menawan hati penonton, PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL kembali mencetuskan fenomena apabila keseluruhan musim pementasan semulanya habis terjual hanya dalam tempoh dua jam selepas jualan tiket kepada umum dibuka.

Lebih mengagumkan, lebih 22,000 peminat masih berada dalam senarai menunggu dalam talian pada jam 10 malam, sekali gus membuktikan permintaan terhadap muzikal ikonik itu jauh melebihi kapasiti tempat duduk yang tersedia.

Bagi Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, Tiara Jacquelina, sambutan luar biasa itu cukup mengharukan, apatah lagi selepas hampir dua dekad karya berkenaan diperkenalkan kepada penonton Malaysia.

“Sejujurnya, saya sendiri hampir kehilangan kata-kata melihat apa yang berlaku malam ini. Dua puluh tahun selepas kami pertama kali membawa Puteri Gunung Ledang ke pentas, mengetahui bahawa rakyat Malaysia masih menyimpan cerita ini begitu dekat di hati mereka dan kini ada pula generasi baharu yang begitu teruja mahu mengenalinya pastinya sangat menyentuh hati saya,” katanya.

Menurut Tiara, dua dekad lalu mereka hanya mampu berharap muzikal berkenaan menjadi sebuah karya yang terus dikenang.

“Malam ini, rakyat Malaysia mengingatkan kami bahawa mereka tidak pernah melupakannya,” katanya.

Lebih daripada sekadar kejayaan sebuah produksi, Tiara melihat sambutan itu sebagai petanda positif terhadap perkembangan industri teater dan seni persembahan tempatan.

“Bagi saya, ini bukan sekadar cerita tentang PGL. Ini satu petanda yang sangat menggalakkan untuk teater Malaysia dan seni persembahan negara.  Ia menunjukkan bahawa penonton kita dahagakan cerita kita sendiri, bakat kita sendiri dan produksi tempatan yang lahir daripada kreativiti rakyat Malaysia,” katanya.

PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL 2026 menandakan kepulangan produksi berkenaan ke pentas selepas hampir dua dekad, kali ini di rumah baharunya, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Tiara turut merakamkan penghargaan kepada generasi peminat yang terus menyimpan karya itu dalam ingatan, termasuk mereka yang kini mahu membawa anak-anak menyaksikan kisah berkenaan.

“Ada yang bersama kami 20 tahun lalu dan kini mahu membawa anak-anak pula untuk menontonnya. Pada masa sama, ada generasi muda yang baru pertama kali akan mengenali dunia PGL.  Bagi saya, itulah antara perkara paling indah tentang kepulangan ini,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada JCPAC, khususnya Melissa Teoh, yang menjadi antara pencetus kepada usaha menghidupkan semula produksi terbabit.

Namun, kejayaan menjual keseluruhan tiket bukan bermakna tugas Tiara dan pasukan kreatif Enfiniti sudah selesai. Sebaliknya, ia menjadikan tanggungjawab mereka lebih besar menjelang pembukaan tirai pada 31 Oktober ini.

“Kalau penonton sanggup memberikan kami kasih sayang dan kepercayaan sebesar ini sebelum mereka pun melihat persembahannya, maka kami berhutang kepada mereka untuk memberikan sesuatu yang benar-benar luar biasa apabila tirai dibuka nanti,” katanya.

Ketika ini, pasukan produksi sedang giat menjalani latihan bagi memastikan barisan pelakon generasi baharu mampu memberikan persembahan terbaik dalam pementasan semula karya yang cukup dekat dengan hati rakyat Malaysia itu.

Dalam pada itu, sambutan luar biasa berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai nasib ribuan peminat yang gagal mendapatkan tiket. Tiara mengakui memahami kekecewaan mereka yang terpaksa menunggu dalam barisan dalam talian tetapi akhirnya tidak berjaya mendapatkan tempat.

“Kepada semua yang menghabiskan malam menekan ‘refresh’, menunggu dalam barisan dan akhirnya masih tidak berjaya mendapatkan tiket.  Saya benar-benar minta maaf, dan pada masa sama amat terharu dan berterima kasih kerana anda begitu mahu bersama kami”, Katanya.

Mengenai kemungkinan musim tambahan atau pementasan di lokasi lain, Tiara berkata beberapa pihak sudah mula mendekati mereka, termasuk dari beberapa negeri di Malaysia. Bagaimanapun, belum ada sebarang pementasan tambahan yang disahkan setakat ini.

“Sudah ada beberapa pihak yang mendekati kami dan perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGL melangkaui musim ini, termasuk minat dari beberapa negeri lain di Malaysia.

“Belum ada apa-apa yang dapat kami sahkan dan fokus mutlak kami sekarang adalah untuk memberikan sebuah persembahan yang luar biasa. Tetapi selepas melihat sambutan ini, sudah tentu kami perlu melihat dengan serius apa lagi yang mungkin dapat dilakukan selepas ini,” katanya.

Buat masa ini, Tiara mahu seluruh pasukannya memberikan sepenuh tumpuan kepada pementasan yang bakal berlangsung.

“Penonton sudah memberikan kepercayaan mereka kepada kami. Sekarang giliran kami untuk membuktikan bahawa kami layak menerima kepercayaan itu. Kami tidak sabar untuk menyambut anda semua kembali ke Ledang,” katanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page