Peterpan Bangkit Semula Dalam Konsert Istimewa di KL Julai Ini
Selepas mencetuskan fenomena besar di Indonesia menerusi penganjuran The Journey Continues oleh Aloka, gelombang nostalgia muzik Peterpan kini bersedia melanda Malaysia.
Buat peminat yang membesar dengan karya kumpulan legenda Indonesia itu, 11 Julai depan pasti menjadi tarikh yang dinanti apabila konsert tribute istimewa berkenaan bakal berlangsung di Idea Live Arena.
Dianjurkan Pulse Project Asia dengan kerjasama Black Sky, Sunstrong, INTX dan Orlaith Inc, acara itu dijangka menghimpunkan ribuan peminat yang mahu kembali mengimbau zaman kegemilangan Peterpan menerusi lagu-lagu malar segar mereka.
Peterpan bukan sekadar nama besar dalam industri muzik Nusantara, malah karya mereka pernah menjadi peneman pelbagai fasa kehidupan peminat, daripada kisah cinta pertama, perpisahan, impian sehinggalah perjalanan menuju dewasa.
Justeru, konsert itu dijangka menjadi malam penuh emosi apabila deretan lagu popular seperti Semua Tentang Kita, Mimpi Yang Sempurna dan beberapa karya ikonik lain akan dipersembahkan semula di hadapan penonton.
Lebih menarik, lagu-lagu berkenaan bakal dibawakan barisan vokalis ternama yang dipilih khas, masing-masing mempunyai kekuatan vokal tersendiri namun tetap mengekalkan roh asal karya Peterpan.
Antara nama yang sudah diumumkan ialah Tantri, vokalis utama kumpulan Kotak yang cukup dikenali dengan tenaga rock luar biasa serta aura pentas memukau.
Turut menghangatkan malam itu ialah Rony Parulian, penyanyi muda Indonesia yang melonjak menerusi program Indonesian Idol dan semakin mendapat perhatian generasi baharu hasil vokal emosionalnya.
Malaysia pula diwakili penyanyi serta komposer terkenal Hael Husaini, figura yang tidak asing menerusi kemenangan Anugerah Juara Lagu dengan lagu Jampi. Kehadiran Hael dijangka memberi warna tersendiri menerusi sentuhan pop kontemporari dan R&B yang menjadi identitinya.
Menambahkan lagi keterujaan, pihak penganjur turut memberi bayangan dua lagi nama besar bakal diumumkan dalam masa terdekat sebagai kejutan istimewa buat peminat.
Wakil penganjur berkata, acara itu bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya perjalanan untuk menghidupkan kembali rasa yang pernah menyatukan jutaan peminat menerusi muzik.
Selain menjadi acara hiburan berskala besar, penganjuran konsert itu juga dilihat mampu mengeratkan hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia, di samping merancakkan pertumbuhan industri kreatif serantau.

Penjualan tiket akan dibuka bermula 30 April 2026 jam 1 tengah hari menerusi platform rasmi Ticket2u dan Fantopia.
Bagi peminat Peterpan, malam itu bukan sekadar peluang menyanyi bersama, tetapi menghidupkan semula kenangan yang pernah mewarnai satu generasi.
