April 29, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Aishah Janji Lagu ‘Rare’, Tukar Platform Tiket Demi Peminat

Spread the love

Penyanyi legenda tanah air, Datuk Aishah memberi jaminan konsert solo mega Aishah 40 Chapters of Love bakal tampil berbeza apabila beliau akan membawakan beberapa lagu yang tidak pernah dipersembahkan secara langsung kepada peminat sepanjang karier seninya.

Menurut Aishah, konsert yang berlangsung pada 4 Julai depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah malam istimewa yang disusun khas sempena meraikan empat dekad perjalanan seninya dalam industri muzik.

Katanya, selain lagu hits yang sudah sebati dengan peminat, beliau juga mahu menghadiahkan sesuatu yang lebih eksklusif menerusi pemilihan lagu-lagu ‘rare’ yang jarang atau belum pernah dipersembahkan di pentas besar sebelum ini.

“Saya mahu konsert ini jadi sesuatu yang berbeza. Sudah tentu peminat mahu dengar lagu popular saya, tetapi saya juga sedang memilih beberapa lagu yang tidak pernah saya nyanyikan secara langsung sebelum ini.

“Itu hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa bersama saya sejak dulu,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Restoran Rebung Chef Ismail Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Pelantun lagu Janji Manismu itu berkata, beliau kini giat menjalani persiapan rapi termasuk aspek vokal, stamina dan susunan persembahan bagi memastikan setiap segmen memberi impak tersendiri kepada penonton.

Dalam perkembangan sama, Aishah memaklumkan pihak penganjur membuat keputusan menukar platform jualan tiket selepas ramai peminat berdepan kesukaran ketika jualan awal dibuka pada 17 April lalu.

Katanya, keputusan itu dibuat demi memastikan proses pembelian lebih lancar dan tidak lagi mengecewakan peminat yang mahu hadir ke konsert berkenaan.

“Ramai peminat hubungi saya mengadu mereka tak dapat beli tiket sebelum ini. Jadi kami ambil tindakan segera dan tukar kepada platform baharu. Sekarang tiket dijual melalui Ticketmelon dan saya harap urusan pembelian selepas ini lebih mudah,” katanya.

Konsert Aishah 40 Chapters of Love dijangka menjadi malam penuh emosi apabila penonton akan dibawa menyusuri setiap fasa penting perjalanan seni penyanyi berusia 61 tahun itu menerusi konsep penceritaan muzik.

Antara lagu malar segar yang dijangka berkumandang pada malam berkenaan termasuk Janji Manismu, Camar Yang Pulang dan Kemaafan Dendam Yang Terindah, selain kejutan lagu-lagu lama yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini.

Menambah seri acara, penyanyi berbakat besar Ara Johari turut diumumkan sebagai artis undangan khas.

Sebagai penghargaan kepada peminat setia, pihak penganjur juga akan melancarkan vinyl eksklusif edisi terhad bersempena konsert berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah penghargaan terhadap legasi besar yang dibina Aishah sepanjang 40 tahun.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah kisah yang dihidupkan di atas pentas. Kami mahu setiap penonton pulang dengan pengalaman yang menyentuh hati,” katanya

Tiket kini dijual menerusi Ticketmelon dengan harga bermula RM168 hingga RM788.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page